ISRAEL cuba menggunakan pengaruh media pro-Barat untuk menyebarkan propaganda bahawa tentera rejim berjaya menebus maruah dalam serangan balas terhadap Iran.
Ia susulan laporan dua agensi berita Amerika Syarikat (AS), The New York Times dan BBC pada Ahad yang menyiarkan imej satelit menunjukkan kesan serangan Israel di wilayah Isfahan, Iran.
Menurut laporan, kemudahan nuklear dan sistem pertahanan Iran menjadi sasaran dalam serangan misil serta dron.
BACA LAGI: Ketua perisikan Israel letak jawatan, akui gagal sekat serangan Hamas pada 7 Oktober
Dalam laporan kedua-dua agensi itu, imej satelit menunjukkan kesan kemusnahan serangan akibat letupan misil dan dron yang dilancarkan dari pesawat perang.
Foto itu juga menunjukkan sistem pertahanan permukaan ke udara buatan Rusia, S-300 yang ditempatkan di timur laut Lapangan Terbang Antarabangsa Isafan.
Imej pertama menunjukkan tarikh 15 April dan foto kedua pula bertarikh 19 April yang mempamerkan kawasan itu kosong dan tiada kelibat S-300 tetapi ada kesan kemusnahan di lokasi itu.
Laporan BBC yang menunjukkan perbezaan keadaan di lokasi serangan berdasarkan dua tarikh berbeza.
Serangan terbabit dilancarkan berdekatan kemudahan nuklear Natanz hanya terletak di utara kawasan tersebut.
Menurut dakwaan BBC, serangan Israel itu memusnahkan sepenuhnya sistem pertahanan S-300 tetapi kesahihan laporan itu tidak dapat dipastikan memandangkan Iran tidak mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut.
Serangan balas itu dilancarkan susulan tindakan Iran menyerang Israel menggunakan ratusan peluru berpandu dan dron pada 13 April lalu, menyebabkan beberapa kemusnahan di wilayah haram tersebut.
Israel sebelum ini juga dilaporkan mahu melancarkan serangan berskala besar tetapi dikekang oleh sekutunya termasuk AS kerana dibimbangkan akan mengheret Asia Barat ke kancah serangan yang lebih besar.
Rejim Zionis kini terjebak dalam kempen ketenteraan di Gaza selepas pejuang Hamas melancarkan serangan mengejut pada 7 Oktober tahun lalu.
Malah Israel juga menerima tekanan dari Lubnan yang menyaksikan pejuang pro-Iran, Hezbollah kerap melancarkan serangan roket ke arah penempatan haram Yahudi.
Konflik di Asia Barat itu menyaksikan lebih 30,000 penduduk Palestin terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak susulan kempen ketenteraan ganas Israel. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram