KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) memandang serius isu berlaku berhubung tindakan ahli akademik warga asing mengeluarkan kenyataan yang dilihat mencetuskan kontroversi dan tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di media sosial.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, KPT mengambil maklum akan perkara tersebut dan sudah mengarahkan agar sebarang program dan aktiviti dijadualkan dihadiri individu terbabit dibatalkan segera.
"Saya turut meminta Universiti Malaya (UM) untuk menyiasat perkara ini dan melaporkan segera butiran lanjut," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Zambry turut mengingatkan setiap agensi dan institusi di bawah KPT supaya peka, berhati-hati dan membuat semakan latar belakang dengan teliti sebelum menjemput mana-mana individu atau pihak ke majlis dan program dianjurkan.
BACA LAGI: 'Tidak lama lagi', Muhyiddin akan umum nasib MP Bersatu sokong PMX
Ciapan yang dimuat naik Gilley. — Twitter/Gilley
Katanya, setiap keputusan yang diambil perlu mengambil kira sensitiviti dan selari dengan dasar serta pendirian kerajaan.
"Walaupun IPT diberi autonomi untuk memutuskan program-program intelektual, tetapi itu bukan bermakna institusi bebas secara mutlak sehingga tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat dan majoriti rakyat Malaysia," ujarnya.
Terdahulu, tular di laman X ciapan ahli akademik dari Amerika Syarikat yang juga Profesor Sains Politik di Universiti Negeri Portland, Bruce Gilley, dipercayai mengeluarkan kenyataan pro-Zionis.
Malah, dia juga menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin sebagai menyebar kebencian terhadap Yahudi.
Situasi itu menyebabkan ramai pihak tampil mengecam Bruce yang sebelum itu difahamkan terlibat dalam satu program akademik di UM.
Dia kemudiannya bagaimanapun dipercayai sudah memadam hantaran kontroversi tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram