Suspek tembak KLIA sempat tukar nombor plat kenderaan, miliki 4 IC berbeza


  • 112
  • Rabu, 17 Apr 2024

Suspek diterbangkan kembali ke Selangor dengan menaiki pesawat jenis King Air B300 milik polis dan mendarat di Pangkalan Unit Sayap Udara Polis kira-kira pada pukul 2.05 petang Selasa.

SUSPEK yang melakukan serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal 1, Sepang Selangor pada awal pagi Ahad dengan cuba menembak isterinya dipercayai sudah mempunyai rencana untuk melarikan diri ke luar negara.

Sebaik melepaskan tembakan yang mengakibatkan kecederaan parah terhadap seorang pengawal peribadi, lelaki berusia 38 tahun itu meninggalkan lapangan terbang terbabit dengan memandu kereta jenis Honda Civic berwarna putih dan menuju ke Utara.

Dia juga menukar nombor plat kenderaan sebelum tiba di Kota Bharu, Kelantan pada petang Ahad.

Ketika tiba di bandar berkenaan, dia juga menggunakan satu daripada empat pengenalan dimilikinya yang kesemuanya kepunyaan individu lain untuk menempah bilik hotel.

Bagaimanapun, dia kemudiannya mengambil satu keputusan pelik apabila untuk membuat ujian perubatan yang sebelum itu sudah dilakukan seminggu sebelumnya di sebuah hospital swasta di Kota Bharu.

Tindakan itu ternyata memakan diri.

BACA LAGI: Perang dunia ke-3 boleh tercetus jika Israel dibiar terus cabul undang-undang antarabangsa

WhatsApp Image 2024-04-17 at 10.13.29 AM

Suspek dipercayai cuba melarikan diri ke Makkah sebelum diberkas polis susulan kejadian tembak di KLIA, Sepang, Selangor pada Ahad lepas.

Suspek dijejaki pihak polis dengan dia akhirnya ditangkap di hadapan hospital pada kira-kira pukul 3 petang pada Isnin, kira-kira 38 jam selepas dia membuat serangan.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, penangkapan tersebut melibatkan kerjasama daripada pasukan polis dari Selangor, Kelantan dan Bukit Aman.

“Berdasarkan siasatan kami, lelaki itu membuat persiapan untuk meninggalkan negara ini.

“Sebelum penangkapannya, dia memang pernah keluar masuk Malaysia beberapa kali sebelum. Baru minggu lepas, dia pulang dari Arab Saudi dan mendarat di Bangkok. Dia kemudian pergi ke Kota Baru dari sana,” katanya di ibu pejabat polis Kelantan pada Selasa.

Ujarnya, ketika ditangkap, suspek telah pergi ke hospital terbabit untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

"Semasa soal siasat, dia memberitahu kami dia pergi ke hospital untuk mengambil keputusan ujian kesihatan dilakukan," katanya.

Ditanya sama ada lelaki itu merancang untuk ke Mekah melalui negara jiran, Mohd Shuhaily tidak menolak kemungkinan itu.

Beliau berkata, adalah terlalu awal untuk mengulas sama ada suspek pergi membuat pemeriksaan kesihatan bagi urusan visa perjalanan.

“Kita tidak boleh menolaknya. Kami tahu bahawa dia sedang membuat persiapan untuk meninggalkan negara ini,” jelasnya.

Mohd Shuhaily berkata, polis menemui sepucuk pistol jenis Glock yang mengandungi lapan butir peluru.

Mereka turut menemui sebuah kotak mengandungi 24 butir lagi peluru di dalam keretanya.

Beliau berkata, semakan lanjut membawa kepada rampasan wang tunai 10,100 riyal Arab Saudi atau sekitar RM12,904.47dan beberapa baht Thailand serta empat kad pengenalan.

“Satu daripada kad pengenalan ini digunakan untuk menempah bilik hotel yang didiaminya.

"Dia memberitahu kami dia tiba di Kelantan selepas solat Zohor pada Ahad," katanya sambil menambah siasatan menunjukkan suspek bekerja sendiri dan tidak dibantu mana-mana pihak.

Katanya, suspek dipercayai memperoleh pistol itu secara haram dari negara jiran.

BACA LAGI: [VIDEO] Pangkalan udara Israel jadi sasaran peluru berpandu Iran

2645246

Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna ungu diiringi anggota polis selepas berjaya ditangkap pada Isnin.

Pada Selasa, suspek dikenali sebagai Hafizul Harawi ditahan reman dan dibawa ke Selangor bagi membantu siasatan cubaan membunuh.

"Kami akan kembali memanggil beberapa saksi untuk menyempurnakan siasatan," katanya sambil menambah suspek yang berasal dari Selangor sebelum ini belajar di sebuah sekolah agama di Repek, Pasir Mas, Kelantan dan merupakan penghafaz al-Quran.

Suspek diterbangkan kembali ke Selangor dengan menaiki pesawat jenis King Air B300 milik polis dan mendarat di Pangkalan Unit Sayap Udara Polis kira-kira pada pukul 2.05 petang.

Lelaki itu yang memakai pakaian lokap berwarna ungu diiringi anggota polis berpakaian taktikal lengkap dan bersenjatakan sub-machine gun.

Ketika tiba di Selangor, suspek yang memakai pelitup muka dilihat berpeluh dan berada dalam keadaan lesu apabila dibawa ke dalam Proton Persona polis untuk meninggalkan pangkalan udara itu kira-kira pukul 2.20 petang.

Mohd Shuhaily juga dilihat menaiki kereta jenis Proton X70 tidak beberapa lama kemudian meninggalkan lokasi.

Difahamkan, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Selangor untuk tindakan lanjut.

Mengenai kebimbangan yang semakin meningkat berhubung penyeludupan senjata api ke negara ini, Mohd Shuhaily berkata, operasi sedang dijalankan.

“Kita boleh bercakap tentang betapa luasnya sempadan kita, dan potensinya untuk bocor, tetapi ia secara semula jadi memang begitu.

“Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk menangani isu itu, termasuk menubuhkan Pusat Pemeriksaan dan Agensi Sempadan Malaysia (MCBA),” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram