SUSPEK yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1) ada membuat pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital swasta di Kelantan dipercayai bagi membolehkannya bekerja di Arab Saudi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan polis mendapati suspek, Hafizul Harawi, 38, sudah membuat pemeriksaan kesihatan di hospital berkenaan seminggu sebelum kejadian tembakan itu berlaku.
"Dipercayai suspek pergi ke Kelantan selepas kejadian menembak untuk mengambil laporan perubatannya seperti yang diperlukan untuk tugas baharunya," katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada Sabtu.
BACA LAGI: Tembak KLIA: Saya perlukan 7 peguam, kata suspek lepas direman seminggu bermula Selasa
Hafizul yang dipercayai mempunyai konflik rumah tangga dengan isterinya ketika kejadian.
BACA LAGI: Suspek kes tembak KLIA bergelut sebelum ditahan depan hospital, polis rampas pistol
Tambahnya, polis akan memohon lanjutan tahanan remannya yang tamat pada Isnin.
"Kita akan lanjutkan tujuh hari lagi dan dia dijangka akan didakwa dalam tempoh itu.
"Setakat ini, kami telah merekodkan kenyataan seramai 27 orang," katanya.
Terdahulu, Hussein hadir bagi memberi penghormatan kepada bekas Ketua Polis Negara, Allahyarham Tun Mohammed Haniff Omar yang meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang pada pukul 2.15 pagi Sabtu.
Pada 14 April lalu, Hafizul membakar beberapa mercun sebelum melepaskan beberapa das tembakan yang pada asalnya mahu ditujukan kepada isterinya, Farah Cie di balai ketibaan KLIA 1.
Namun, tembakan terkena pada seorang daripada pengawal peribadi Farah.
Suspek kemudiannya berjaya ditahan polis di Kota Bahru, Kelantan pada Isnin lepas selepas cuba melarikan diri ke luar negara. — The Star/JUSTIN ZACK
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram