Kelas padat dianggap tidak 'beretika', pensyarah saran hadkan bilangan murid dalam kelas agar PdP lebih efisien


  • Massa
  • Ahad, 21 Apr 2024

Kepadatan murid dalam bilik darjah berisiko mempengaruhi keberkesanan sesi PdP di sesebuah sekolah. — Facebook/ Othman Talib

KEPADATAN murid dalam bilik darjah berisiko mempengaruhi keberkesanan sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) di sesebuah sekolah.

Pensyarah Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Othman Talib berpandangan, keadaan kelas yang terlalu padat boleh dianggap sebagai sesuatu yang tidak 'beretika'.

Menurutnya, tidak 'beretika' dalam konteks tersebut membawa maksud berlaku perlanggaran hak asasi murid dalam mendapatkan asas pendidikan negara yang sewajarnya.

"(Sedangkan) dengan sistem tersebutlah mereka meletakkan harapan untuk masa depan (yang lebih baik).

"Isu ini sangat besar dalam kalangan negara maju, (oleh itu) mereka sentiasa meminimumkan (jumlah murid) untuk mengelak masalah lebih serius," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Beliau menjelaskan, kelas yang dianggap sesuai untuk menjalankan PdP dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) adalah saiz dan bilangan muridnya disifatkan mudah diuruskan (manageable) untuk melaksanakan aktiviti asas pembelajaran.

BACA LAGI: Tiada sesi akademik minggu pertama sekolah bagi tarik minat murid — KPM

Students queueing to enter the school on the first day at SMJK Katholik in Petaling Jaya yesterday. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

KPM perlu membentuk dasar dan polisi pendidikan negara termasuk menghadkan bilangan maksimum bagi setiap kelas. — Gambar hiasan

BACA LAGI: Sekolah ada pilihan buat PdPR - KPM

Menurut Othman, saiz dan bilangan murid yang bersesuaian adalah bergantung pada beberapa faktor seperti tahap dan usia murid.

Jelas beliau, kelas pada tahap asas dan usia murid awalan seperti tujuh hingga 12 tahun memerlukan bilangan murid lebih kecil sekitar 15 hingga 25 murid untuk mencapai tahap boleh diuruskan.

"Angka-angka ini adalah bilangan yang menjadi target dan amalan lazim dalam 'rule of thumb' dunia pendidikan," ujarnya.

Justeru, beliau berharap agar pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat mengambil perhatian sewajarnya bagi menangani permasalahan tersebut.

Tegasnya, kementerian perlu membentuk dasar dan polisi pendidikan negara termasuk menghadkan bilangan maksimum bagi setiap kelas.

"Semua ini bertujuan agar semua murid mendapat keadilan sewajarnya.

"Intervensi juga dapat dilakukan bagi mereka yang memerlukan, selain pihak sekolah mempunyai cukup masa untuk mendiagnos murid termasuk yang mempunyai gangguan pembelajaran khusus (LD)," jelas beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram