MAJLIS pertunangan yang berlangsung melibatkan kanak-kanak bawah umur Indonesia pada Rabu bukan saja mendapat perhatian masyarakat setempat, malah menjadi perbincangan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sebuah rakaman tular yang dimuat naik di aplikasi TikTok dengan nama akaun massaki memaparkan gelagat seorang kanak-kanak perempuan yang mengenakan sepersalinan baju berona hijau bersalaman dengan para tetamu ketika majlis berlangsung.
Difahamkan, budak perempuan tersebut bukanlah berusia empat tahun seperti didakwa, sebaliknya berusia tujuh tahun sementara pasangan tunangnya juga masih kanak-kanak.
Kanak-kanak berkenaan juga menerima sebentuk cincin dan gelang emas daripada pihak keluarga lelaki.
Meskipun agak janggal, namun kejadian di Desa Banjar Tabuluh, Kecamatan Camplong, Madura, Jawa Timur itu difahamkan adalah perkara biasa yang berlaku di sana.
BACA LAGI: Tiada sesi akademik minggu pertama sekolah bagi tarik minat murid — KPM
Tangkap layar video memaparkan kanak-kanak perempuan itu bersalaman dengan tetamu yang hadir semasa majlis pertunangannya.
Pada awalnya, majlis pertunangan itu hanya dihadiri ahli keluarga terdekat, namun nenek kepada kanak-kanak lelaki tersebut berhasrat untuk mengadakan majlis secara besar-besaran.
Menurut bapa kepada budak perempuan itu yang hanya ingin dikenali sebagai Zahir, ikatan pertunangan tersebut berlaku selepas kedua-dua keluarga bernazar ketika berada di Tanah Suci, Makkah.
"Kami membuat janji itu dengan bakal besan ketika bekerja di sana," katanya.
Zahir dan isterinya menyedari mereka banyak menerima kecaman daripada warga maya setelah rakaman itu tular di aplikasi TikTok.
"Ya, kami sekeluarga mohon maaf atas kekecohan ini," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram