Bergesel punca ibu bawa Grabfood cedera, bayi dan rakan maut kemalangan — Polis Gombak


  • 112
  • Ahad, 21 Apr 2024

Kejadian yang berlaku di MRR2 itu telah mengorbankan dua nyawa.

POLIS telah mengenal pasti punca kemalangan yang melibatkan seorang penghantar makanan (Grabfood) bersama rakan dan anaknya pada Jumaat.

Kejadian yang berlaku di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di kawasan Batu Caves, Selangor telah meragut nyawa seorang wanita serta bayi lelaki.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Abang Kaderi Abang Wasli berkata, kejadian yang berlaku pada sekitar pukul 8.13 malam akibat pergeseran antara motosikal dinaiki mangsa dengan sebuah kenderaan lain.

Kenderaan lain yang tidak dapat dipastikan nombor pendaftarannya itu telah menyebabkan dua wanita, masing-masing berusia 23 dan 29 tahun yang menaiki motosikal serta seorang bayi berusia dua tahun terbabit kemalangan.

Ibu bayi terbabit dilaporkan cedera, namun rakannya dan bayi berkenaan meninggal dunia.

BACA LAGI: Ibu bawa Grabfood cedera, bayi dan rakan maut kemalangan di Batu Caves

BACA LAGI: 'Anak ni tiada dosa', Polis Perak ambil keterangan ibu bapa, siasat unsur kecuaian budak 2 tahun lemas di tasik dekat masjid UTP

"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati mangsa, seorang perempuan warga tempatan berumur 23 tahun menunggang motosikal bersama rakannya, seorang perempuan warga tempatan berumur 29 tahun dan anaknya seorang bayi lelaki berumur dua tahun dari Batu Caves menghala ke Selayang.

"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa disyaki bergesel dengan sebuah kenderaan jenis dan nombor pendaftaran tidak dapat dikenal pasti.

"Akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang motosikal dan bayi tersebut mengalami kecederaan di kepala, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan Hospital Selayang," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah Abang Kaderi, pembonceng yang dikatakan ibu kepada bayi lelaki itu mengalami kecederaan dan turut dirawat di Hospital Selayang. Menurut saksi, ibu bayi tersebut mengalami patah tangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram