'Anak ni tiada dosa', Polis Perak ambil keterangan ibu bapa, siasat unsur kecuaian budak 2 tahun lemas di tasik dekat masjid UTP


  • 112
  • Ahad, 21 Apr 2024

Tasik Masjid UTP yang merupakan lokasi Hadi terjatuh dan lemas dalam kejadian pada Sabtu. — Facebook/Fatimah Kamarudin

PIHAK Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil keterangan daripada ibu bapa kanak-kanak yang lemas di tasik berhampiran Masjid Universiti Petronas (UTP) dekat Seri Iskandar, Perak.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah dilaporkan berkata, kejadian yang mengorbankan kanak-kanak berusia dua tahun itu akan disiasat di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001.

Kedua ibu bapa kanak-kanak yang dikenali sebagai Hadi Zulqarnain Muhammad Huzaifah itu disiasat di bawah seksyen tersebut kerana "mengabaikan kanak-kanak tanpa penjagaan yang munasabah".

“Ya, kedua-dua ibu bapa kanak-kanak terbabit akan diambil keterangan.

"“Hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mayat mangsa di Hospital Changkat Melintang, Bota, mendapati punca kematian ialah lemas," kata Hafezul.

BACA LAGI: 'Hadi anak baik', ibu sayu pangku jasad anak 2 tahun lemas dalam tasik Masjid UTP ketika tunggu solat zuhur

437371623_10161019881319318_2934569944730422422_n

Jenazah Hadi sudah selamat dikebumikan di Lumut. — Facebook/Siti Nur' Rahmah

Hafezul turut menambah yang pada Sabtu, pasangan ibu bapa telah pergi ke Bahagian Keselamatan UTP untuk mendapatkan bantuan mengesan anak mereka yang hilang sekitar jam 1.15 tengah hari.

Mangsa dilaporkan hilang ketika keluarganya sedang menantikan waktu untuk menunaikan solat Zuhur di masjid tersebut.

Daripada semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu, mereka mendapati ada kelibat mangsa yang sedang berjalan menuju ke tasik.

Pihak Jabatan Bomba & Penyelamat menerusi Unit Skuba Bomba menemui mangsa yang sudah tidak sedarkan diri tiga jam selepas dia dilaporkan hilang iaitu pada 4.25 petang.

Menerusi kemaskini oleh Siti Nur' Rahmah, jenazah Hadi telah selamat dikebumikan di sebuah tanah perkuburan Islam dekat Lumut dengan kedua ibu bapanya redha dengan takdir.

BACA LAGI: 'Pandang kiri kanan', Adam Adli tegur hantaran Akmal Saleh singgung PM

Menurut bapanya, Muhammad Huzaifah, pemergian Hadi dilihat sungguh mudah dengan anaknya itu seolah-olah sedang tidur walaupun hakikatnya tidak lagi bernyawa.

"ALHAMDULILLAH selesai urusan pengebumian anak syurga Hadi selepas subuh tadi di tanah perkuburan di Lumut. Ibu & bapa Hadi sangatlah tenang & redha, ibu bapa terpilih dipinjamkan anak syurga.

“Anak ni tiada dosa, bila dah ke sana, dia tiada pun kesal dan tak mahu pulang pun ke dunia. Tak macam yang kita yang dewasa ni," kata Muhammad Huzaifah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram