SATU kemalangan maut berlaku di Batu Caves, Selangor dengan meragut nyawa seorang wanita bersama seorang bayi dalam kejadian Jumaat malam.
Wanita tersebut yang dipercayai merupakan pekerja perkhidmatan penghantaran makanan, Grabfood mengalami kemalangan ketika hendak menuju ke flyover Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Batu Caves menuju ke Kepong.
Selain wanita tersebut, seorang bayi turut terkorban dalam kemalangan tersebut.
Laman Asal Gombak di Facebook memberitahu kemalangan itu telah menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut dan mereka menasihatkan agar pengguna jalan raya menggunakan laluan alternatif untuk ke destinasi masing-masing.
"Ada kemalangan maut yang baru sahaja berlaku di flyover MRR2 Batu Caves menuju ke Kepong, info awal yang diberitahu mangsa adalah seorang emak dan bayi. Salam takziah kepada keluarga mangsa.
"Trafik menuju ke lokasi kejadian agak sesak, sila gunakan laluan alternatif jika perlu," kata laman tersebut.
BACA LAGI: 'Pandang kiri kanan', Adam Adli tegur hantaran Akmal Salleh singgung PM
Menurut maklumat orang awam, wanita yang maut dipercayai merupakan ibu bayi kerana difahamkan mereka bertiga menaiki motosikal bersama.
Selain mereka, adik mangsa turut mengekori mereka menaiki motorsikal berasingan.
"Ibu bayi tak meninggal. Pihak ambulans dah ambil bawa pergi hospital. Ibu bayi cuma patah tangan, yang meninggal tu kawan ibu bayi," komen Nurul Syazwani Shukry yang mendakwa dia merupakan saksi kejadian.
Malah Hafizi Abdul dalam komennya juga berkata, suami wanita yang maut memaklumkan kejadian itu kepadanya.
"Arwah isterinya keluar dengan kawan dan anak kawan dia. Yang meninggal pun anak kawan dia, kawan dia pula patah tulang, adik saya baru saja petang tadi sembang dengan suami dgn anak dia sebelum kejadian," katanya.
Rata-rata warganet meluahkan rasa simpati hasil daripada insiden tersebut. Nyata mereka berasa kasihan kerana melihat ibu dan anak yang sedang mencari rezeki menemui ajal.
"Sebaknya rasa. Mangsa keluar mencari rezeki bersama anak kecil. Semoga ALLAH terima segala amal ibadahnya dan permudahkan perjalanan arwah di alam sana," kata warganet bernama Siti Fatihah Abd Karim.
"Mencari rezeki untuk kehidupan. ALLAH berikan rezeki lain yang lebih indah bersama anaknya. Semoga ditempatkan dalam kalangan orang beriman," ujar Mohd Shahrir.
"Mungkin boleh buka tabung bantu family ni. Hulur sedikit bantu keluarga ni. Risau betul kalau ada rider bawa anak kecil naik motor," cadang Mazani Yusoff. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram