'Tidak lama lagi', Muhyiddin akan umum nasib MP Bersatu sokong PMX


  • Politik
  • Ahad, 21 Apr 2024

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, partinya sudah membuat keputusan berhubung perkara tersebut.

TINDAKAN terhadap ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berpaling tadah mengalihkan taat setia kepada pihak lain akan dilakukan tidak lama lagi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, partinya sudah membuat keputusan berhubung perkara tersebut.

“Perkara mengenai enam Ahli Parlimen dan seorang Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) itu telah dibincangkan oleh Bersatu dan kita telah membuat keputusan.

“Kami akan mengambil langkah yang perlu untuk melaksanakan keputusan kami. Kita akan menyerahkan pelaksanaan kepada setiausaha agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Tunggu sahaja ia dilaksanakan,” kata Muhyiddin.

BACA LAGI: PRK Kuala Kubu Bharu: Persaingan sengit rebut undi Melayu, pengundi India bakal jadi penentu

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Rumah Terbuka Hari Raya Bersatu yang diadakan di Bukit Fraser, Pahang pada Ahad.

Pada 2 Mac, parti itu meluluskan usul untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Bersatu bagi menggugurkan keahlian wakil rakyat yang berpaling tadah daripada pendirian parti.

BACA LAGI: Tiada pertukaran kerusi, calon PRK KKB dari parti penyandang — Tok Mat

Tindakan itu dibuat selepas enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan mereka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu.

Ia terdiri daripada Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Dalam pada itu, Adun Selat Klang daripada Bersatu, Datuk Abdul Rashid Asari turut menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. — The Star/ZAKIAH KOYA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram