Tiada pertukaran kerusi, calon PRK KKB dari parti penyandang — Tok Mat


  • Politik
  • Sabtu, 20 Apr 2024

Mohamad berkata, pendirian itu sudah dipersetujui oleh setiap parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan selepas PRU15.

KESEMUA kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya kecil (PRK) akan diwakili oleh parti penyandang daripada Kerajaan Perpaduan yang memenangi kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pendirian itu sudah dipersetujui oleh setiap parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan selepas PRU15.

"Pemahaman ini hanya terpakai pada pilihan raya kecil (selepas PRU15). Kita belum putuskan apa yang akan berlaku pada PRU16," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Rayanya di Rantau, Negeri Sembilan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, sekiranya wakil rakyat di bawah Kerajaan Perpaduan meninggal dunia, calon yang akan bertanding di kerusi itu pada pilihan raya kecil akan datang adalah daripada parti yang sama.

"Ini bukan pilihan raya umum yang mana kita boleh bertukar-tukar kerusi. Persefahaman sebegitu penting untuk memastikan tiada masalah dalam PRK," katanya.

Mohamad berkata demikian sebagai mengulas kenyataan jawatankuasa pembangunan politik MCA bahawa parti itu tidak akan berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu (KKB) sekiranya calon itu bukan daripada Barisan Nasional (BN).

Jawatankuasa pembangunan politik parti itu mengumumkan pendirian terbabit menerusi satu kenyataan selepas mengadakan satu mesyuarat ibu pejabat MCA, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Sebelum ini Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran juga membayangkan perkara yang sama, sambil menambah parti itu hanya akan membantu berkempen dalam pilihan raya melibatkan calon BN.

Bagaimanapun, Vigneswaran berkata, MIC akan mempertimbangkan untuk membantu sekiranya terdapat permintaan daripada pimpinan Pakatan Harapan (PH).

BACA LAGI: Pernah jadi kubu kuat MCA, kreativiti muka baharu dan tradisi bakal pecah antara trivia menarik PRK Kuala Kubu Bharu

2652301

Hari pengundian PRK DUN Kuala Kubu Baharu akan berlangsung pada 11 Mei depan. — Gambar hiasan

BACA LAGI: Akaun 3 KWSP tambah alternatif simpanan pencarum, sedia dana kecemasan ketika terdesak

Mohamad berkata, anggota dalam Kerajaan Perpaduan sudah bekerjasama semasa PRK Pulai dan Simpang Jeram di Johor dan PRK Pelangai di Pahang.

Ujarnya, kerjasama itu perlu diteruskan.

“Memandangkan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan telah membantu antara satu sama lain, maka kerjasama ini harus diteruskan.

“Jika kita memutuskan untuk tidak (membantu calon parti yang bertanding), maka ia tidak akan nampak baik,” katanya.

Mohamad berkata, langkah membantu berkempen untuk calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan tidak bermakna parti itu telah secara rasmi bergabung.

“Ideanya ialah calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan muncul sebagai pemenang.

“Kita perlu meneruskan kerjasama ini supaya tidak timbul masalah,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan perpaduan akan meletakkan calon Melayu, Mohamad berkata, perkara itu belum diputuskan.

Beliau berkata, persefahaman yang dicapai adalah kerusi itu akan ditandingi oleh PH dan terpulang kepada gabungan itu untuk memutuskan siapa yang akan diturunkan.

“Hanya ada satu pertemuan antara kami setakat ini dan kami tidak tahu sama ada DAP akan mempertahankan kerusi itu.

"Apa yang kita tahu kerusi itu dimenangi oleh PH dan DAP. Kita tidak tahu siapa yang akan mereka letak," katanya.

Mohamad berkata, keputusan MCA dan MIC untuk tidak berkempen akan dibincangkan pada mesyuarat BN yang akan diadakan sebelum penamaan calon bagi PRK Kuala Kubu Baharu.

"Kita akan uruskannya dalam BN. Kita perlu membantu rakan-rakan kita (dalam Kerajaan Perpaduan) seperti yang kita lakukan pada pilihan raya kecil selepas PRU15," katanya.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan bagi mengisi kekosongan jawatan berikutan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong baru-baru ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengumumkan pada 4 April bahawa Hari Penamaan calon pada 27 April dan pengundian akan berlangsung pada 11 Mei. — The Star/SARBAN SINGH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram