Muhyiddin rayu Mahkamah Persekutuan, bebaskan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa


Muhyiddin memfailkan notis rayuan itu di Mahkamah Persekutuan pada Khamis. — The Star

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan empat tuduhan rasuah berjumlah RM232.5 juta dihadapinya adalah jelas dan mengarahkan ia dikembalikan semula ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi pada Ogos 2023 membebaskan Muhyiddin selepas membenarkan permohonannya untuk membatalkan tuduhan terbabit.

Muhyiddin memfailkan notis rayuan itu di Mahkamah Persekutuan pada Khamis untuk merayu keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan pada Rabu lalu melalui firma guaman Tetuan Chetan Jethwani & Company.

BACA LAGI : Mahkamah Rayuan batal pelepasan, pembebasan Muhyiddin, 4 kes rasuah dibicara semula

1c6eab23-3487-45aa-85b5-cf870ac434f1

Muhyiddin yang berdepan dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa. — The Star

Dalam keputusan Mahkamah Rayuan, panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan secara sebulat suara, membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Muhyiddin.

Turut bersidang, Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S M Komathy Suppiah.

Panel tersebut berkata, Mahkamah Tinggi terkhilaf daripada segi undang-undang apabila memutuskan empat pertuduhan berkenaan tidak mendedahkan sebarang kesalahan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Mengenai isu dibangkitkan oleh perayu (pendakwaan) bahawa pertuduhan itu tidak cacat, panel itu berkata, ia menerima hujahan pihak berkenaan dan berpandangan bahawa empat pertuduhan terbabit adalah jelas.

Susulan itu, panel berkata, tiada keperluan bagi pendakwaan untuk menyatakan cara atau memberikan butiran lanjut bagaimana kesalahan itu dilakukan.

Muhyiddin juga merayu keputusan panel yang memutuskan Bersatu, sebuah pertubuhan politik di bawah takrifan bersekutu seperti yang ditakrifkan mengikut Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

BACA LAGI : Muhyiddin diberi pelepasan pasport, rasmi restoran rakan karib di Thailand

Parti Pribumi Bersatu Malaysia President Tan Sri Muhyiddin Yassin speaks at the party’s agm in PICC, Putrajaya, Sunday, December 30, 2018. RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Muhyiddin dibebaskan atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah RM232.5 juta bagi Bersatu pada 15 Ogos 2023. — The Star

Panel bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa pertubuhan itu termasuk dalam definisi organisasi di bawah seksyen sama dan mendapati tiada merit dalam hujahan responden (Muhyiddin) bahawa oleh kerana pertubuhan tidak disebut dalam seksyen itu, ia tidak boleh dimasukkan dalam definisi bersekutu.

Panel itu berkata, ia berpandangan pengertian biasa pertubuhan ialah kumpulan yang dibentuk untuk tujuan tertentu dan oleh itu termasuk dalam definisi organisasi.

Pada 15 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi membebaskan Muhyiddin atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah RM232.5 juta bagi Bersatu.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tuduhan terbabit.

Ia susulan empat pertuduhan itu didakwa tidak mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Muhyiddin memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan berkenaan pada 18 April tahun lalu, dengan memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan dikenakan terhadapnya pada 10 Mac 2023.

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat tuduhan itu adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri kelapan didakwa di Mahkamah Sesyen kerana menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi Bersatu.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya di antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Sehingga kini, beliau masih berdepan tiga tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram yang semuanya berjumlah RM200 juta. — The Star/NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram