Remaja maut Ysuku rempuh lembu lintas jalan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai


  • 112
  • Jumaat, 10 Mac 2023

Mangsa dari arah Chiku 3 menuju ke Chiku 2 sebelum melanggar seekor lembu yang sedang melintas jalan. — Gambar hiasan

SEORANG remaja lelaki berusia 16 tahun maut selepas motosikal dinaikinya merempuh seekor lembu di Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Kuala Krai,Gua Musang, Kelantan pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, Mohamad Adam Haikal Mohamad Asri, berasal dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil, Kelantan mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Chiku 3, pukul 9.55 malam Khamis.

"Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha YI5Z dari arah Chiku 3 menuju ke Chiku 2 dan apabila tiba di tempat kejadian remaja terbabit melanggar seekor lembu yang sedang melintas jalan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan maut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau turut menasihatkan penternak lembu supaya tidak membiarkan haiwan peliharaan mereka berkeliaran pada waktu malam kerana dikhuatiri mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.

"Penternak yang membiarkan haiwan ternakan berkeliaran di jalan raya dan kawasan perumahan boleh didakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar di bawah Enakmen Kawalan Kerbau Lembu 2001 dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 289 Kanun Keseksaan, sekiranya berlaku kemalangan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram