[VIDEO] Tragedi 2015, 'Pesta Api Neraka' ragut nyawa pengunjung taman tema air


  • Benua
  • Sabtu, 23 Mac 2024

Pada tahun 2015, lebih daripada seorang maut dan 500 pengunjung cedera dengan hampir 200 daripadanya parah dalam satu kejadian letupan di sebuah taman tema air di Taipei, Taiwan. — Agensi

TAMAN tema adalah satu tempat yang menyeronokkan dan disukai oleh hampir semua peringkat umur.

Tidak kira apa jua permainan disediakan, taman tema sememangnya merupakan tempat untuk bergembira dan sering menjadi tempat tumpuan orang awam meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.

Namun, taman tema juga boleh menjadi tempat yang berbahaya sehingga ada yang meragut nyawa sekiranya pihak pengurusan tersebut mengabaikan aspek keselamatan pengunjung.

Pada tahun 2015, seramai 15 orang maut dan 500 pengunjung cedera dengan hampir 200 daripadanya parah dalam satu kejadian letupan di sebuah taman tema air di Taipei, Taiwan.

Malah media antarabangsa pada ketika itu turut menyifatkan kejadian yang berlaku di Waterpark Formosa Fun Coast itu sebagai 'Pesta Api Neraka'.

Mengimbau kembali insiden mengerikan tersebut, kejadian itu berlaku sewaktu pesta muzik, Color Play Asia yang diadakan di lokasi di taman tema air berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Misteri kehilangan anggota tentera terjawab, maut kena mampat lori sampah

BACA LAGI: Badan penuh lebam, Muhd Nazmie Aizat maut kena belasah dalam asrama kolej vokasional di Lahad Datu

Difahamkan, letupan itu dipercayai berpunca daripada bahan serbuk warna yang disembur ke atas pentas sehingga mencetuskan kebakaran sebelum ia menyambar ke arah lebih 1,000 hadirin.

Rakaman di laman web akhbar Apple Daily menunjukkan orang ramai sedang asyik menari dan muzik dimainkan ketika serbuk warna itu disembur sebelum tiba-tiba bertukar menjadi api.

Orang ramai dilihat berlari dalam ketakutan untuk menyelamatkan diri mereka sambil menjerit kerana disambar api.

Ada di antara mereka yang hanya berpakaian renang dan diselubungi serbuk warna itu.

Orang ramai yang hadir melihat kejadian itu turut kelihatan membantu dengan mencurahkan air pada mangsa.

Orang ramai dilihat cuba menyelamatkan mangsa yang tercedera selepas berlaku kebakaran di Waterpark Formosa Fun Coast. — Agensi

Dalam kejadian tersebut, pihak berkuasa membuat spekulasi haba daripada pencahayaan pentas atau api rokok mungkin telah mencetuskan percikan api yang memarakkan serbuk warna tersebut.

Sementara itu, Taiwon Food Industrial memberitahu yang membekalkan serbuk warna berkenaan telah memaklumkan pihak penganjur Color Play Asia membeli sejumlah tiga tan serbuk warna yang mengandungi tepung jagung dalam empat perjanjian berasingan tahun ini.

Syarikat tersebut berkata, serbuk warna itu mudah terbakar di bawah suhu tinggi, khususnya apabila tahap ketepuannya tinggi.

Susulan daripada insiden itu, pihak berkuasa tempatan telah menahan pemilik Color Play Asia, Lu Chung-chi dan beberapa individu lain yang terlibat dalam penganjuran pesta itu.

Chung-chi dikenakan hukuman penjara selama empat tahun 10 bulan selain diarahkan membayar pampasan berjumlah AS$15 juta kepada kesemua mangsa yang terlibat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram