SELEPAS kecoh dengan cadangan menjadikan Kampung Baru Cina, Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia, Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), usul Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sekali lagi mencetuskan isu.
Pada Rabu, KPKT mencadangkan supaya Pasar Payang dijenamakan semula sebagai Central Market Pasar Payang bagi menjadikan Terengganu sebagai destinasi budaya dan warisan negara kepada pelancong luar.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebelum ini berkata, usaha tersebut dapat menarik lebih ramai pengunjung ke Pasar Payang sekali gus menjadikannya sebagai pasar pelancongan sambil menawarkan suasana yang menarik dan moden.
BACA LAGI : 'Kenali Kampung Baru, bererti kenali Kuala Lumpur', ada lebih layak diangkat Tapak Warisan UNESCO
Pasar Payang yang menjadi tarikan ramai termasuk pelancong. — Gambar hiasan/The Star
Susulan itu, kerajaan Terengganu memaklumkan bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang hasrat untuk menukar nama Pasar Payang kepada nama lain.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, nama Pasar Payang itu sendiri mempunyai susur galur sejarah, budaya dan adat resam yang sudah tersemat di hati rakyat Terengganu.
“Apa yang mahu dicapai oleh pihak kerajaan negeri ialah menjadikan Pasar Kedai Payang sebagai ‘pasar utama’ bagi Terengganu yang menjadi tumpuan, pusat aktiviti pelancongan dan sebagainya sesuai dengan sifat serta sejarahnya di kedudukan tengah negeri Terengganu dan pesisir Pantai Timur,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
BACA LAGI : KPT, UNESCO bangunkan polisi khas OKU
Nga mencadangkan agar dapat menarik minat ramai pelancong. — The Star
Bersetuju dengan respons Samsuri, majoriti masyarakat terutamanya penduduk Terengganu menggesa agar nama tersebut terus dikekalkan sebagai warisan negeri itu.
Namun, selain mengekalkan nama asli, ada juga yang mencadangkan kepada pihak kerajaan negeri agar membuat penambah baikan daripada sudut berbeza.
Mengulas lanjut, pengguna akaun Facebook Faiz Az Zoey berkata, Pasar Payang boleh ditambah baik dengan mengadakan sudut-sudut pameran.
"Seperti mana yang Datuk Seri beritahu pusat setempat, jual tembaga, kraf tangan, rotan, batik dan songket.
"Adakan juga sudut-sudut pameran, mencanting batik, menenun songket dan menganyam rotan serta pukulan gamelan di sini.
"Demonstrasi kuih-kuih tradisi Terengganu setiap Sabtu Ahad Isnin, sebab ramai pelancong luar," tulisnya.
Samsuri menegaskan bahawa kerajaan Terengganu tidak berhasrat untuk menukar nama Pasar Payang. — The Star
Pengguna Facebook Ahmad Kamel Muhamad juga menyokong cadangan tersebut sambil menambah, ia boleh mengekalkan identiti negeri tersebut.
"Kekalkan identiti, produk kita sehingga dikenali dunia Insya-ALLAH," katanya.
Bagaimanapun, Nga kemudiannya menjelaskan bahawa beliau bersikap terbuka berhubung keputusan kerajaan Terengganu ingin mengekalkan nama Pasar Payang.
Menurutnya, keputusan itu diterima dengan baik walaupun pasar berkenaan merupakan projek Kerajaan Persekutuan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram