Pemandu lori tolak kekasih dari tingkat 23 kondo di Setia Alam diarah jalani penilaian di Hospital Bahagia selama sebulan


Sivahnanthan (kiri) diarah menjalani penilaian psikiatri kerana dipercayai mengalami keadaan mental tidak stabil.

MAHKAMAH Majistret Shah Alam pada Jumaat memerintahkan pemandu lori yang didakwa membunuh teman wanita warga Thailand dengan menolak mangsa jatuh dari tingkat 23 sebuah kondominium di Setia Alam, Selangor untuk menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Tanjong Rambutan, Ulu Kinta, Perak.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Sivahnanthan Ragava supaya V Nathan, 37, menjalani penilaian psikiatri kerana tertuduh dipercayai mengalami keadaan mental tidak stabil.

Mahkamah juga menetapkan 7 Jun depan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai laporan psikiatri tertuduh.

Terdahulu, Sivahnanthan, yang membuat permohonan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah, memberitahu mahkamah bahawa pihaknya sukar mendapatkan arahan daripada anak guamnya yang tidak responsif.

"Anak guam saya terlibat dalam kemalangan motosikal pada 2018, di mana dia mengalami kecederaan ringan di kepala yang mengakibatkan pendarahan intrakranial (ICB) dan pneumocranium.

“Saya bimbang dia akan melakukan sesuatu terhadap dirinya di penjara, justeru dengan rendah hati saya memohon agar mahkamah yang mulia ini menghantarnya ke pemeriksaan psikiatri,” kata peguam itu.

BACA LAGI: Langkah potong subsidi bahan api kekal dilaksana tahun ini — Rafizi

2581863

Mangsa ditolak dari tingkat 23 dan jatuh ke tingkat tujuh di kondominium tersebut oleh teman lelakinya pada Februari lalu.

BACA LAGI: Akaun 3 KWSP tambah alternatif simpanan pencarum, sedia dana kecemasan ketika terdesak

Peguam juga mengemukakan memo perubatan tertuduh, yang dikeluarkan oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang kepada mahkamah.

Memandangkan perkara itu tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farah Sofea Norazman, majistret kemudian memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri selama sebulan.

Nathan didakwa membunuh Mawika Lumyai, 32, di sebuah kondominium di Jalan Setia Dagang AH U13/AH, Setia Alam, Selangor pada pukul 10.02 malam, pada 28 Februari lepas.

Kejadian ngeri tersebut turut tular menerusi satu video memaparkan detik-detik ketika mangsa dicampak jatuh dari atas unit kediaman bertingkat berkenaan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan 12 sebatan, jika tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram