HASRAT seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah dekat Kuala Pilah, Negeri Sembilan untuk menamatkan acara larian merentas desa pada Jumaat tidak kesampaian selepas dia rebah ketika menghampiri garisan penamat sebelum disahkan meninggal dunia.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, pelajar terbabit Nuqman Naufal Shamsul, 14, dilaporkan sedang menyertai acara sukan terbabit bersama-sama kira-kia 700 pelajar lain.
Katanya, acara larian merentas desa itu melibatkan jarak sejauh tujuh kilometer.
"Semasa pelajar itu hampir di garisan penamat iaitu lebih kurang 50 meter, dia telah rebah dan tidak sedarkan diri," katanya dalam satu kenyataan.
BACA LAGI: Langkah potong subsidi bahan api kekal dilaksana tahun ini — Rafizi
Syahrul berkata, susulan kejadian tersebut, guru di lokasi cuba memberikan bantuan pernafasan namun pelajar itu tidak menunjukkan sebarang tindak balas.
Katanya, pihak sekolah kemudiannya menghubungi talian 999 dengan pelajar berkenaan seterusnya dibawa ambulans ke Unit Kecemasan, Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk tindakan lanjut.
"Ambulans tiba di Unit Kecemasan kira-kira jam 10.15 pagi dan setelah hampir sejam memberikan bantuan, akhirnya pelajar itu disahkan meninggal dunia," ujarnya.
BACA LAGI: Akaun 3 KWSP tambah alternatif simpanan pencarum, sedia dana kecemasan ketika terdesak
Syahrul berkata, berdasarkan keterangan bapa Allahyarham, anaknya itu difahamkan menghidap penyakit jantung berlubang sejak 2016.
Malah ujarnya, pelajar terbabit juga mempunyai kad rawatan bagi penyakitnya dari Institut Jantung Negara (IJN) dan dibekalkan dengan ubat-ubatan daripada IJN.
"Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram