SEORANG guru sekolah memandu tersepit selepas kenderaan dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Inas-Sengkang dekat Kulai, Johor pada Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Penguasa Bomba Kanan, Fairuz Helmi Mohd Helmi memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8.09 pagi.
Menurutnya, nahas membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Alza berlanggar dengan sebuah lori.
"Apabila sampai di lokasi kemalangan, kami mendapati kaki kiri pemandu Alza tersepit di tempat duduk pemandu dan mangsa turut mengalami kecederaan parah di kepala.
"Anggota mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan pemandu berusia 32 tahun itu menggunakan peralatan khas (hydraulic rescue cutter).
"Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi Majoriti.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Microsleep ke?' Owner dashcam meraung lepas kena rempuh kereta 4 tayar ke atas
Fairuz Helmi menjelaskan, mangsa yang bertugas di sebuah sekolah memandu di Kulai kemudian dikejarkan ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim untuk rawatan lanjut.
Video kejadian juga dimuat naik di Facebook Orang Kulai pada Rabu.
Berdasarkan maklumat orang awam, pemandu Alza berkenaan dipercayai mengalami microsleep ketika memandu akibat kepenatan selepas pulang dari tempat kerja.
Setakat berita ini ditulis, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram