Polis Kajang siasat kes budak perempuan 8 tahun dicederakan anak jiran pengasuh


  • Massa
  • Jumaat, 19 Apr 2024

Kanak-kanak yang dikenali sebagai Cahaya mengalami kecederaan di kaki. — Twitter

KES pukul seorang kanak-kanak yang dilakukan oleh anak jiran pengasuh di Kajang, Selangor kini telah pun berada dalam siasatan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Nasir Drahman, laporan telah pun diterima oleh pihaknya di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang pada 11 April lalu oleh seorang wanita yang merupakan pengasuh kepada kanak-kanak tersebut.

Menurut Nasir, seramai hampir lima orang kanak-kanak dalam lingkungan umur enam hingga lapan tahun terlibat dalam perbuatan ini.

Mangsa merupakan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dan mengalami kecederaan di bahagian kaki.

BACA LAGI: JKM siasat kes budak perempuan kena pukul anak jiran sampai terlantar di HKL — Nancy Shukri

2651215

Kecederaan yang berlaku di kaki Cahaya akibat dicederakan sekumpulan kanak-kanak.

BACA LAGI: 'Kesian kaki kena ketuk batu bata, kemaluan dicucuk jari', jiran bantu tuntut bela kanak-kanak perempuan kena pukul budak sekolah

"Hasil siasatan mendapati kanak-kanak ini cedera dipercayai diperlakukan oleh kanak-kanak yang merupakan jiran kepada pengasuh mangsa.

"Suspek dalam kes ini juga kanak-kanak berusia enam hingga lapan tahun terdiri kira-kira empat hingga lima orang.

"Semua suspek yang terlibat akan diambil keterangan berhubung kejadian," kata Nasir pada Jumaat.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan yang kes kanak-kanak yang dikenali sebagai Cahaya ini telah mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Nancy berkata, pihaknya menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bertindak menghubungi ibu mangsa.

"KPWKM sentiasa mengambil berat tentang kes-kes yang berkaitan dengan keselamatan dan pelindungan kanak-kanak," katanya.

Terdahulu, tular satu dakwaan mengatakan bahawa kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai Cahaya dipukul sehingga cedera parah di kaki, perut, hidung dan anggota sulitnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram