KETUA Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Adam Adli memberikan peringatan kepada Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr Akmal Saleh agar berhati-hati dalam memberikan sebarang kenyataan.
Ia berikutan tindakan Akmal yang dilihat mempersoal kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mahu terlibat dalam urusan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memfailkan afidavit menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak menghabiskan hukuman penjaranya dengan menjalani tahanan rumah.
"Ini bukan soal presiden parti atau kerajaan. Ini soal sama ada kerajaan mahu menjunjung titah atau sebaliknya? Rakyat mahukan penjelasan, bukan alasan," kata Akmal di media sosialnya.
Adam yang merupakan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya mengingatkan agar Akmal untuk "pandang kiri dan kanan" sebelum memberikan kenyataan kerana apa yang dilakukannya kini telah menyinggung perasaan Anwar.
Menurut Timbalan Menteri Belia & Sukan itu, tindakan Akmal itu seolah-olah tidak mencerminkan dirinya yang kini berada dalam satu pasukan iaitu kerajaan perpaduan.
"Saudara Akmal Saleh mungkin boleh bertenang dan pandang kiri kanan sikit dalam mengeluarkan kenyataan samada peribadi mahu pun rasmi. Yang disinggung oleh saudara itu presiden kami, Perdana Menteri kita semua. Mungkin saudara bukan 'walanon' tetapi saudara tetap salah seorang ketua pemuda dalam gabungan parti pemerintah hari ini.
"Sebagaimana kami sepakat tonjolkan sikap hormat kepada presiden saudara, dengan sentiasa berhati-hati memilih perkataan dan menyatakan pandangan kalau pun dalam isu yang kadang amat 'fundamental' dan mengesankan; apa sangat harganya untuk saudara ambil sikap yang sama terhadap presiden kami, pimpinan utama kita, Perdana Menteri sendiri?," soal Adam kepada Akmal.
BACA LAGI: 'Tunggu Hari Pekerja', Anwar bagi 'hint' gaji penjawat awam bakal naik
Tambah Adam lagi, Akmal yang juga merupakan wakil rakyat dan pemimpin utama di Melaka, mempunyai akses untuk mendekati Anwar dengan lebih mudah.
Pada hematnya, mustahil suara Akmal untuk tidak didengari Anwar kerana mereka berada dalam 'kapal' yang sama sekarang.
"Saudara ada akses luas dan penuh kepada pimpinan sendiri dan pimpinan parti rakan, termasuk Perdana Menteri kita. Apa pun perkara yang saudara ingin kemukakan mustahil tidak didengari, mustahil tidak dibalas.
"Mungkin saudara ada semangat tinggi untuk membela Datuk Seri Najib; itu ikrar Saudara yang kita tidak pernah larang kalau pun ada berbeza pandangan - cuma percayalah, menimbulkan suasana yang cenderung memulakan pergeseran sebegini tidak membantu pun dalam mencapai apa yang terbaik buat semua," kata Adam di media sosialnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram