'Tunggu Hari Pekerja', Anwar bagi 'hint' gaji penjawat awam bakal naik


  • Primer
  • Jumaat, 19 Apr 2024

Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam di Putrajaya. — Facebook/Anwar Ibrahim

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan yang kerajaan dalam usaha akhir untuk melakukan penstrukturan semula mengenai gaji para penjawat awam di negara ini.

Menurut Anwar, kerajaan pimpinannya begitu komited dalam menambah baik struktur gaji para penjawat awam.

Tambahnya, hasil daripada usaha melakukan penstrukturan semula itu akan ditentukan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang akan datang.

Baru-baru ini, Anwar telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilang 3 Tahun 2024 yang diadakan di Putrajaya.

"ALHAMDULILLAH, mesyuarat hari ini hampir memuktamadkan penambahbaikan struktur gaji baharu penjawat awam, yang seterusnya akan diputuskan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

"Saya ingin tegaskan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan usaha menambah baik struktur gaji penjawat awam yang dilaksanakan menerusi Kajian SSPA, di sebalik ekonomi negara yang mencabar kesan ketidaktentuan geopolitik dunia.

"Kerajaan mengambil pendirian dan tanggungjawab ini mengambil kira tekanan kos sara hidup bagi penjawat awam terutamanya yang berpendapatan rendah," kata Anwar di laman media sosialnya.

BACA LAGI: Polis Kajang siasat kes budak perempuan 8 tahun dicederakan anak jiran pengasuh

BACA LAGI: JKM siasat kes budak perempuan kena pukul anak jiran sampai terlantar di HKL — Nancy Shukri

Menurut Anwar lagi, keputusan mesyuarat Jemaah Menteri mengenai perkara tersebut akan diketahui pada perhimpunan Hari Pekerja pada 1 Mei kelak.

Sekiranya, usaha menstruktur semula gaji penjawat awam ini berjaya, besarlah harapan Anwar untuk menyaksikan mereka bekerja dengan lebih produktif dan berikan perkhidmatan terbaik buat negara.

"Cadangan penambahbaikan termasuk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam akan saya umumkan pada perhimpunan Hari Pekerja nanti.

"Semoga usaha ini menjadi motivasi buat penjawat awam untuk meningkatkan produktiviti dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat," ujar Anwar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram