[VIDEO] Rosak sebab banjir atau sorok sampai luput? Lambakan pek beras terbuang di Pahang bangkit persoalan


  • Tular
  • Khamis, 18 Apr 2024

Longgokan pek beras yang dipercayai dibuang di kawasan pembuangan sampah berdekatan Kuala Krau, Pahang. — Facebook

TULAR satu video memaparkan longgokan pek beras dalam jumlah yang agak besar dipercayai dibuang di sebuah kawasan pembuangan sampah berdekatan Kuala Krau, Pahang.

Menerusi klip yang mula tersebar di media sosial sejak Khamis, insiden itu difahamkan berlaku di sebuah kawasan daerah berkenaan.

Berdasarkan video berkenaan, sebahagian daripada longgokan buangan di kawasan terbabit juga sedang terbakar.

Orang ramai didapati turut berada di lokasi.

Penularan klip tersebut menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai memandangkan negara sejak awal tahun lalu berdepan dengan masalah kekurangan bekalan beras tempatan.

BACA LAGI: Langkah potong subsidi bahan api kekal dilaksana tahun ini — Rafizi

BACA LAGI: Akaun 3 KWSP tambah alternatif simpanan pencarum, sedia dana kecemasan ketika terdesak

Di ruangan komen, pelbagai teori wujud dalam kalangan warganet berhubung kes itu termasuk yang mendakwa pek beras berkenaan merupakan beras yang disorok sehingga rosak dan melepasi tarikh luput.

"Simpan, sorok supaya dia naik harga. Akhirnya (tarikh) luput masuk tempat buang sampah. Nak buang pun kenalah buang tengah malam," ujar Yahaya Kunyit Hitam.

"Amat menyedihkan. Rakyat biasa macam orang gila nak cari beras tempatan murah untuk isi perut anak-anak. Sementara itu, golongan kapitalis main sorok beras semata-mata tunggu naik harga," dakwa Kristal Assyami Shah.

Pada masa sama, terdapat warganet mendakwa beras berkenaan berkemungkinan adalah pek yang rosak selepas terjejas ekoran banjir.

Berdasarkan klip berkenaan, logo dipaparkan pada pek berkenaan adalah jenama Jering Megah.

Dalam pada itu, pihak berkuasa dan wakil jenama beras terbabit masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden sedemikian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram