SARANAN Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul untuk menjadikan ubi kayu sebagai sumber alternatif karbohidrat dalam keadaan kekurangan bekalan beras tempatan pada Jumaat mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.
Memetik laporan media, Johari mencadangkan supaya orang ramai tidak bergantung semata-mata kepada beras sebagai makanan ruji utama mereka.
"Kalau beras menjadi isu, apa tujuan beras kita makan...tujuan untuk dapatkan karbohidrat. Saya merasakan ada tak alternatif lain sementara kita nak selesaikan isu beras.
"Contoh saya pernah berbincang dengan beberapa Ahli Parlimen Sarawak, Sarawak tanam ubi kayu yang digunakan sebagai suplemen (makanan tambahan).
"Jika kita perkenalkan makanan ubi kayu ini menggantikan beras, buat ubi kayu dalam bentuk apa pun, di Sarawak saya difahamkan ia amat berjaya," katanya.
Abdul Muati memuat naik hantaran berbaur sinis di Facebook miliknya.
Penganalisis politik, Profesor Madya Datuk Dr Abdul Muati Ahmad turut memuat naik hantaran berbaur sinis di Facebook miliknya berhubung saranan tersebut.
Menurut beliau, ubi akan menjadi salah satu makanan ruji dalam kalangan masyarakat di Malaysia pada masa akan datang.
"Pilihlah antara ubi kayu, ubi kentang, ubi keledek, ubi keladi, ubi kemili atau ubi gadung.
"Peribahasa kita akan bertukar daripada ada ubi ada batas menjadi ada ubi pengganti beras.
"Kepada bapa-bapa, lepas ini jangan kata beras kita beli, tetapi katalah ubi kita tanam. Kenalilah ubi anda," katanya.
Beliau dalam pada itu turut memuat naik gambar empat jenis ubi iaitu ubi kentang, ubi keledek manis, ibu keledek dan ubi kayu.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya turut menyuarakan pandangan mereka berhubung cadangan Johari.
Menurut Noq Kadir, hasrat untuk melahirkan generasi berjaya sukar dilaksanakan jika makanan ruji terpaksa dikurangkan.
"Kalau makanan pun dicatu, rakyat kurang mendapat zat makanan, macam mana nak membina bangsa yang berjaya? Mana perginya hasrat nak membina Malaysia Madani? Hat ni (Perkara ini) memang betul-betul spinlah profesor. Takut-takut laju sangat berpusing terbang semuanya nanti," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram