KERAJAAN melalui Majlis Tindakan Kebangsaan Mengenai Kos Sara Hidup (Naccol) bersetuju menurunkan harga runcit beras putih import (BPI) antara RM2 hingga RM3 mulai 20 Mac (Rabu).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, harga semasa beras putih import adalah RM38 hingga RM45 setiap kampit 10 kilogram (kg) dan dijangka turun kepada RM35 dengan pelarasan harga yang sudah dimuktamadkan dalam mesyuarat Naccol pada Selasa.
"Kerajaan optimis langkah ini akan membantu rakyat Malaysia mengurangkan kos sara hidup mereka, terutama pada bulan Ramadan dan perayaan yang akan datang," katanya pada Selasa.
BACA LAGI: Harga barang kami jual tidak akan naik sebab SST meningkat — Ameer Ali Mydin
Mohamad Sabu mengumumkan penurunan harga beras bermula Rabu.
Beliau menambah bahawa kerajaan juga memutuskan semua stok beras semasa berjumlah 140,000 tan metrik yang dibeli oleh pengilang diperlukan untuk diproses dan disediakan kepada pasaran tempatan dengan segera bagi meningkatkan pengedaran beras.
"Kementerian akan mempertingkatkan penguatkuasaan di seluruh negara, dan untuk meluaskan pengedaran beras putih import, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan menjalankan lebih banyak jualan Agro Madani di seluruh negara," katanya.
BACA LAGI: Tangguh dulu SST 8 peratus, rakyat Malaysia dijangka berdepan 1 lagi pusingan inflasi — Pemuda MCA
Bekalan tambahan BPT sebanyak 20,000 tan metrik dapat diedarkan sepenuhnya pada April ini. — Gambar hiasan
Katanya, kerajaan turut bersetuju agar semua kontrak kerajaan mengguna pakai sepenuhnya BPI dan melalui kaedah itu bekalan tambahan Beras Putih Tempatan (BPT) sebanyak 20,000 tan metrik dapat diedarkan sepenuhnya di pasaran pada April ini.
"Kesemua langkah ini akan dapat meningkatkan ketersediaan bekalan beras kepada rakyat melalui jualan BPI pada harga yang lebih rendah serta pertambahan BPT di pasaran," katanya.
Beliau berkata, KPKM juga akan meneruskan perbincangan bersama semua pihak berkepentingan untuk memperhalusi pelan tindakan jangka panjang bagi struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik.
"Keputusan ini mencerminkan komitmen utuh Kerajaan Madani dalam menjaga kebajikan rakyat dan memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan negara," tambahnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram