SEGELINTIR ibu bapa memilih menghantar anak-anak mereka ke Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) disebabkan kualiti pembelajaran dan pengajaran (PdP) di tadika tersebut yang memberi impak positif terhadap perkembangan ilmu kanak-kanak.
Seorang individu, Imlan Adabi berkongsi pandangan beliau mengenai kelebihan menghantar anak-anak ke PASTI namun kurang berkenaan dengan tindakan seorang guru yang mengajar anaknya melukis sebuah bendera politik.
"Empat anak saya belajar di sekolah PASTI sejak usia empat tahun. Saya sengaja pilih PASTI kerana sistem pendidikan yang berkualiti dan memenuhi pembinaan sahsiah kanak-kanak.
"Mereka diajar baca doa, Bahasa Arab, Bahasa Inggeris dan subjek lain yang sesuai. Mereka diajar wuduk dan solat berjemaah. Saya setuju pendidikan ini. Semua anak saya khatam al-Quran di sekolah rendah.
"Suatu hari anak kedua saya pulang sekolah dengan bangganya bercerita ustazah ajar buat bendera.
"Kata cikgu tersebut, kamu pilih kertas putih dan buat bulatan di tengah. Dalam bulatan tu biarkan putih. Kamu hanya perlu warna hijau untuk luar bulatan," tulisnya menjelaskan situasi tersebut melalui satu hantaran Facebook pada Ahad.
Sebanyak 2,497 PASTI beroperasi di seluruh negara yang menempatkan 9,539 guru yang berkhidmat secara sukarelawan. — Facebook/PASTI
Tambahnya lagi, usai kejadian itu, dia dan isterinya menghubungi pihak pengurusan pusat asuhan tersebut.
"Saya dan isteri tak setuju bab ni kerana budak-budak sudah diajar lukisan macam tu. Saya hubungi pengurusan PASTI dan mereka akur untuk tidak mengulangi lagi.
"Saya menerima sijil penghargaan daripada PASTI kerana satu-satunya penduduk yang empat anak belajar di PASTI.
"PASTI sudah 40 tahun operasi. Tentunya ratusan ribu pelajar sejak dulu. Empat anak saya sudah dewasa dan bertugas di pelbagai sektor," katanya lagi.
Imlan turut meluahkan rasa kecewa apabila ada individu yang menganggap guru-guru PASTI sebagai sukarelawan.
"Apabila guru-guru PASTI dianggap sukarelawan sahaja, saya sedih. Mereka bertugas sepenuh masa untuk dua sesi. Ada yang pulang dari Universiti Al-Azhar, Mesir," katanya.
Dia turut mengharapkan agar pihak yang bertanggungjawab tidak mengabaikan kebajikan tenaga pengajar pusat asuhan tersebut.
"Pada hari ini, kos kehidupan berbeza 40 tahun lalu. Adakah mereka yang bergaya dengan kereta mewah seperti Mercedes dan BMW tidak terfikir untuk sediakan gaji tetap untuk guru-guru PASTI?
"Adakah guru-guru tiada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan caruman skim keselamatan sosial, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kerana kesukarelawan mereka?," soalnya.
Untuk rekod, pusat asuhan itu telah ditubuhkan pada tahun 1980 dan sebanyak 2,497 PASTI beroperasi di seluruh negara yang menempatkan 9,539 guru yang berkhidmat secara sukarelawan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram