KENYATAAN Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa guru-guru di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang digerakkan parti itu bukanlah pekerja, sebaliknya hanya sukarelawan baru-baru ini menjadi bualan hangat dalam kalangan warga maya.
Ahlu Parlimen Alor Setar berkenaan mengeluarkan kenyataan tersebut selepas mempersoal Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengapa siasatan perlu dilakukan terhadap PASTI sekali gus menganggap sekolah itu telah ditekan oleh pihak menteri.
Kata Afnan Hamimi, PASTI adalah aktiviti sukarelawan yang melibatkan ahli parti dan tidak membabitkan aktiviti antara pekerja dan majikan serta bukan aktiviti perniagaan.
Untuk rekod, status guru-guru PASTI ini bukanlah perkara baharu dan ia acap kali dibangkitkan oleh ahli politik dan juga rakyat sendiri.
Manakan tidak, guru-guru PASTI dikatakan dibayar gaji serendah RM500 bergantung kepada lokasi kawasan dan jumlah yuran yang dibayar ibu bapa.
Pada masa sama, para gurunya juga dikatakan tidak mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta tidak mempunyai pencen.
BACA LAGI : Program Taman Tadarus Ramadan mahu lakar sejarah bacaan terpanjang di dunia
Kebanyakan individu yang bekerja sebagai pendidik di Pasti merupakan sukarelawan yang bekerja secara sukarela. — Facebook/Pasti
Di sebalik tahap kebajikannya yang disifatkan sesetengah pihak sebagai tidak begitu memuaskan, rata-rata pendidik di pusat pendidikan awal itu ternyata bagaikan tidak kisah dengan situasi dihadapi mereka.
Itu yang diluahkan seorang daripada guru PASTI, Nursyaidatul Nesa Shamsuddin yang meletakkan kepercayaan kepada ALLAH SWT sebagai pemberi rezeki , sekali gus menjadi pegangan dirinya untuk terus berkhidmat di pusat pendidikan tersebut.
"Berkhidmat selama 12 tahun, walaupun elaun diterima tidak semewah seperti guru-guru yang mengajar di pusat asuhan lain, ia bukan alasan untuk berhenti berkhidmat," katanya seperti dilaporkan media tempatan.
Kenyataan guru berusia 39 tahun itu meraih perhatian warga maya yang rata-ratanya memuji pendiriannya untuk berkhidmat secara ikhlas dalam mendidik anak bangsa walaupun PASTI sering dikaitkan dengan parti politik PAS.
Pengguna Facebook, Nurul Huda Khaled dalam komennya berharap agar PAS dapat menambah baik dan menjaga kebajikan guru yang berkhidmat di pusat asuhan tersebut.
"Susah nak dapat guru seperti ini, mungkin tak semua seperti cikgu. Kalau boleh buat penambahbaikan pada isu gaji apa salahnya.
"Jika guru boleh bertolak-ansur, tak salah pihak atasan memberi faedah yang sepatutnya kerana institusi ini bukan baru. Dah lama bertapak. Saya harap, selepas ini boleh upgrade kepada yang lebih baik," tulisnya.
BACA LAGI : 'Penat tuntut ilmu takkan rugi', ramai kecewa sikap ibu bapa hina pendidikan KAFA
Di sebalik tahap kebajikannya yang disifatkan sesetengah pihak sebagai tidak begitu memuaskan, rata-rata pendidik di PASTI ternyata bagaikan tidak kisah dengan situasi dihadapi mereka. — Facebook/Pasti
Seorang bekas guru PASTI, Hidayah Ali berkata kebanyakan individu yang bekerja sebagai pendidik di pusat pendidikan tersebut merupakan sukarelawan yang bekerja secara sukarela.
"Sebenarnya guru PASTI ini adalah sukarelawan yang berkhidmat mendidik anak-anak. Jadi mereka tidak hairan dengan upah yang diterima, mereka terima bayaran saguhati ini seikhlas hati mereka.
"Alhamdulillah, dua tahun saya berkhidmat sebagai guru PASTI suatu ketika dulu membuatkan diri ini terjebak dengan aktiviti sukarelawan walaupun tidak lagi berkhidmat dengan PASTI," ujarnya.
Sementara itu, Norhasmawati Ruhani pula mendoakan agar kesemua guru tersebut mendapat kemudahan dan gaji yang setimpal dengan pekerjaan mereka.
"Saya doakan kalian dapat minimum, KWSP dan caruman skim keselamatan sosial, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Teruskan mendidik dan sama-sama berdoa agar ada pihak yang boleh memberi hak tersebut memberikan hak pada kalian. Begitu juga dengan guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa)," katanya.
Annuar Fakry mencadangkan pihak PASTI menaikkan yuran pelajar agar kesemua guru PASTI mendapat gaji yang minimum.
"Konsep rezeki itu datang dalam pelbagai cara. PASTI naikanlah yuran supaya boleh menampung kos operasi jika gaji asas RM1,500 menjadi aturan.
"Win win situation bagi PASTI dan tenaga pengajar. Walaupun ada guru yang berasakan gaji sekarang adalah lebih kepada sumbangan.
"Tetapi, ada baiknya juga orang-orang yang memartabatkan ajaran Islam di peringkat anak-anak ini mendapat pembelaan sewajarnya," tulisnya.
Untuk rekod, pusat asuhan itu telah ditubuhkan pada tahun 1980 dan sebanyak 2,497 PASTI beroperasi di seluruh negara yang menempatkan 9,539 guru yang berkhidmat secara sukarelawan.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram