KEBELAKANGAN ini, kita sering melihat semakin banyak paparan video yang mengundang rasa tidak senang hati atau kebencian menjadi tular terutamanya di media sosial di Malaysia. Sebagai contoh, antara rakaman yang tular adalah paparan video seorang individu memarahi pekerja kedai serbaneka apabila anaknya dituduh mencuri, paparan video seorang selebriti yang menonjolkan satu babak lakonan yang kontroversi, dan yang terbaharu paparan seorang pensyarah memarahi pelajarnya kerana tidak memiliki komputer riba.
Penularan paparan-paparan sebegitu seolah-olah menunjukkan penonton khasnya dalam kalangan netizen mendapat hiburan atau keseronokan apabila dihidangkan dengan sesuatu yang ‘memualkan’. Dalam Bahasa Inggeris, kecenderungan mendapat keseronokan daripada benda-benda yang bercirikan unsur negatif disebut guilty pleasure. Dalam bahasa mudah, ia boleh diterjemahkan sebagai ‘benci tapi suka’.
Paparan-paparan negatif ini menjadi tular atau trending apabila mereka mendapat perkongsian yang tinggi di pelbagai jenis media sosial seperti Twitter, YouTube, Facebook, TikTok dan sebagainya. Tambahan lagi, peranan media perdana seperti saluran berita TV dan portal berita dalam talian turut menyumbang kepada populariti paparan-paparan sebegitu.
Namun begitu, timbul beberapa persoalan. Kita sedia maklum bahawa konsep ‘permintaan dan penawaran’ memainkan peranan dalam hal ini – kejayaan sesuatu produk di pasaran dipengaruhi oleh sambutan pengguna terhadap produk tersebut. Tetapi dalam konteks paparan video yang tular ini, produk itu sendiri boleh dikatakan bergantung hampir keseluruhannya kepada unsur-unsur yang negatif.
Persoalan yang pertama - adakah minda kebanyakan rakyat Malaysia hari ini semakin terjebak ke dalam fenomena ‘benci tapi suka’ dengan kecenderungan kepada pencarian hiburan daripada paparan-paparan yang negatif?
Persoalan yang kedua pula - jika ini benar, apakah ia membawa kesan yang lain terutamanya dalam konteks pembangunan insan di negara kita?
Berbalik kepada persoalan yang pertama tadi, penularan pantas paparan-paparan sebegitu membuktikan fenomena ‘benci tapi suka’ terutamanya dalam kalangan netizen. Kecenderungan netizen untuk menyebarluaskan paparan yang mereka tonton memberi isyarat kecenderungan minda kebanyakan rakyat Malaysia terhadap bahan-bahan tontonan yang negatif. Ini dikuatkan lagi dengan ratusan komen terhadap paparan-paparan tersebut yang menunjukkan ‘keprihatinan’ netizen untuk memberi ulasan atau pendapat masing-masing.
Apakah nilai-nilai yang dibawa oleh paparan sebegitu sehingga ia diangkat tinggi oleh netizen yang sanggup meluangkan masa dan tenaga mereka memainkan peranan dalam penularannya?
Melihat persoalan kedua, keghairahan netizen dalam fenomena ‘benci tapi suka’ ini dibimbangi boleh memberi kesan kepada salah satu teras dalam Maqasid Syariah iaitu ‘penjagaan intelek’, yang secara tidak langsung boleh membawa impak yang tidak sihat dalam usaha pembangunan insan di Malaysia. Usaha kerajaan terutamanya melalui institusi pendidikan dalam melahirkan individu-individu yang berfikiran kritis dan berpengetahuan tinggi dibimbangi akan direncatkan dengan fenomena ‘benci tapi suka’ yang boleh bertukar menjadi budaya pemikiran picisan di kalangan generasi muda negara ini.
Sebagai contoh, ibu bapa sepatutnya merasa risau bila anak mereka lebih suka menonton paparan yang memperlihatkan penggunaan kata-kata kesat yang mungkin tampak melucukan daripada menonton paparan yang mengetengahkan sesuatu yang bersifat ilmiah seperti ceramah motivasi dan sebagainya.
Justeru, penulis melihat fenomena ‘benci tapi suka’ dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai sesuatu yang perlu dibendung kerana ia memberi gambaran kerendahan minda kita dalam menilai kaca dan permata dalam paparan-paparan di media sosial. Tambahan lagi, kita seharusnya merasa lebih bertanggungjawab dalam membentuk aliran pemikiran generasi muda yang memerlukan pendedahan berterusan dan mantap kepada paparan-paparan yang membina.
Jangan nanti, minda anak cucu kita hanya mendapat rangsangan bila didedahkan dengan perkara-perkara picisan, tetapi tidak merasa apa-apa bila dihidangkan dengan hal-hal berteraskan ilmu pengetahuan dan nilai budi. — Majoriti
Dr Shahrul Nizam Mohd Basari, Pensyarah Kanan, Jabatan Pelancongan Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram