Media dilarang buat liputan semakan kehakiman Najib untuk tahanan di rumah kerana sensitif


Najib ketika ini turut berdepan beberapa pertuduhan lain melibatkan kesalahan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB.

MEDIA dilarang untuk membuat liputan terhadap prosiding permohonan Datuk Seri Najib Razak bagi kebenaran memulakan semakan kehakiman dalam tuntutannya berhubung perintah tambahan diraja yang membolehkannya menjalani baki tempoh penjara di bawah tahanan rumah.

Pada permulaan prosiding di Kuala Lumpur pada Rabu, peguam utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon kepada hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Amarjeet Singh supaya kes itu dijalankan di dalam kamar kerana sifatnya yang sensitif.

Peguam itu berkata semua dokumen sudah difailkan.

“Dalam kamar bermakna prosiding boleh dijalankan secara fizikal di mahkamah tetapi dalam kamar.

“Saya juga telah diberitahu dan dimaklumkan kepada rakan saya (Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly) yang juga menerima idea itu, memandangkan bahan-bahan tertentu yang didedahkan dalam afidavit terakhir yang nampaknya sensitif,” kata Muhammad Shafee.

Hakim Amarjeet membenarkan permohonan itu.

“Semua pihak lain tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam prosiding termasuk media,” ujarnya.

Perbicaraan kemudian berpindah ke kamar hakim bersama dengan pasukan peguam Najib dan Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili responden.

BACA LAGI: Perang dunia ke-3 boleh tercetus jika Israel dibiar terus cabul undang-undang antarabangsa

Najib memfailkan permohonan itu melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co pada 1 April lalu.

Beliau mendakwa terdapat perintah tambahan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam pengampunan diraja yang diberikan kepadanya pada 29 Januari lalu, di mana dalam tambahan itu, dia dibenarkan menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Pesuruhjaya Negara Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), ketua pengarah hal ehwal undang-undang di Jabatan Perdana Menteri dan kerajaan sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Dalam notis permohonan itu, Najib memohon perintah tambahan supaya kesemua responden atau salah seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan perintah tambahan bertarikh 29 Januari 2023.

Beliau juga memohon perintah tambahan supaya semua atau satu daripada responden memberikan salinan titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 mengenai pengurangan hukuman penjara dan denda serta perintah tambahan, kedua-duanya bertarikh Januari 29 2023.

BACA LAGI: [VIDEO] Pangkalan udara Israel jadi sasaran peluru berpandu Iran

Najib turut menuntut kos dan pelepasan lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan sebelum ini mengurangkan tempoh hukuman penjara 12 tahun bekas perdana menteri itu berhubung kes rasuah SRC International kepada enam tahun selain mengurangkan denda RM210 juta kepada RM50 juta.

Dengan pengurangan hukuman tersebut, beliau dijangka bakal dibebaskan dari penjara pada 23 Ogos 2028.

Najib, 71, kini sudah menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 kerana kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Beliau ketika ini turut berdepan beberapa pertuduhan lain melibatkan kesalahan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). — The Star/NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram