BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sudah memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk menjalani baki hukumannya di bawah tahanan di rumah.
Permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada Selasa itu untuk mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan rumah.
Permohonan itu difailkan melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co pada 1 April.
BACA LAGI: Subsidi bersasar perlu, pastikan hanya kumpulan layak dapat manfaat — PM Anwar
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan sebagai responden pertama hingga ketujuh.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan sebelum ini mengurangkan tempoh hukuman penjara 12 tahun bekas perdana menteri itu berhubung kes rasuah SRC International kepada enam tahun selain mengurangkan denda RM210 juta kepada RM50 juta.
Najib, 71, kini sudah menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 kerana kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.
Dengan pengurangan hukuman tersebut, beliau dijangka bakal dibebaskan dari penjara pada 23 Ogos 2028.
Najib ketika ini turut berdepan beberapa pertuduhan lain melibatkan kesalahan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). — The Star/NURBAITI HAMDAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram