SPRM sudah siasat FAM sejak Rabu — Azam Baki


  • Podium
  • Jumaat, 05 Apr 2024

Azam Baki mengesahkan SPRM sudah membuat siasatan awal.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan pihaknya sudah membuat siasatan terhadap isu 'surat layang' Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) minggu lalu.

Surat yang dikirimkan menerusi emel itu memaparkan pelbagai isu dalaman persatuan berkenaan, termasuk isu salah guna kuasa dan ketirisan dana.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menjelaskan bahawa siasatan hanya dibuat terhadap dakwaan isu jenayah dan bukan hal-hal pentadbiran.

""Berdasarkan kepada aduan awam, SPRM menjalankan siasatan sejak dua hari lalu (Rabu). Kami juga mengambil beberapa fail daripada FAM sebagai sebahagian daripada siasatan.

“Kebanyakan isu yang disebut (dalam surat layang) tersebut berkaitan hal pentadbiran, dan SPRM tidak akan meneliti perkara tersebut. SPRM hanya akan membuat siasatan terhadap dakwaan isu jenayah," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Lepas gantung but, ex Penang kini ubah angin jadi pencari bakat

WhatsApp Image 2024-04-05 at 20.58.44

Isu ketirisan dana dan salah guna kuasa mencalarkan imej FAM. — Agensi

BACA LAGI: Nak jadi pemain bola sepak, mental kena kuat — Safee Sali

Isu 'surat layang' yang dialami FAM menjadi topik perbualan hangat dengan orang ramai masih hangat membincangkan perkara berkenaan di media sosial.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini mengatakan pihaknya akan mengambil tindakan kerana ia merupakan percubaan untuk mencalarkan imej mereka.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut percaya bahawa SPRM dapat menangani isu tersebut selain yakin FAM boleh menguruskan isu itu sekiranya ia berpunca dari masalah dalaman.

Jelas Azam lagi, orang ramai dinasihatkan supaya tidak lagi membuat sebarang spekulasi terhadap siasatan yang sudah dijalankan.

“Setakat ini, kami tidak mahu mendedahkan sebarang butiran kerana siasatan sedang dijalankan. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi tetapi memberi ruang untuk siasatan dijalankan.

"SPRM akan menjalankan siasatan secara profesional dan bertindak adil kepada semua pihak yang terlibat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram