Syarikat penyedia sistem solar disaran tawar kaedah bayaran secara ansuran kepada pengguna


  • Bizz
  • Rabu, 17 Apr 2024

Syarikat penyedia perkhidmatan sistem solar PV disarankan untuk menawarkan kaedah pembayaran secara ansuran sebagai langkah penjimatan bil elektrik di kawasan kediaman.

SYARIKAT penyedia perkhidmatan sistem solar PV (fotovoltaik) disarankan untuk menawarkan kaedah pembayaran secara ansuran sebagai langkah penjimatan bil elektrik di kawasan kediaman.

Pakar ekonomi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Law Siong Hook berkata, langkah itu akan menggalakkan lebih ramai pengguna untuk mempertimbangkan pembelian dan pemasangan panel solar di rumah sekiranya bersesuaian.

Menurutnya, kaedah pembayaran secara ansuran tidak memerlukan pengguna membayar sejumlah wang yang tinggi.

"Tindakan tersebut dapat membantu pengguna mempunyai aliran tunai yang mencukupi untuk perbelanjaan dan tabungan setiap bulan.

"Jika bank tidak mengenakan sebarang kadar bunga, maka kaedah ini akan memudahkan mereka untuk menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui (renewable energy) dengan lebih luas," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Naik 8 peratus, kerajaan sedia kecualikan air, elektrik daripada SST

stok

Contoh pengiraan pemasangan sistem solar yang digunakan di rumah besar seperti jenis banglo. — Siong Hook

BACA LAGI: Bekas pekerja TNB kongsi tip mudah jimatkan elektrik ketika cuaca panas

Siong Hook berpandangan, kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk memberi insentif kewangan atau rebat apabila individu membayar cukai pendapatan.

Jelas beliau, syarikat pembekal boleh menolak bayaran daripada akaun bank, kad kredit atau menggunakan aplikasi di telefon pintar secara automatik pada setiap bulan.

"Syarikat juga disarankan untuk menyediakan perkhidmatan servis selepas jualan, seperti datang ke rumah sama ada dua atau tiga kali setahun untuk memastikan sistem solar berfungsi dengan baik," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai kos, beliau berkata, kos pemasangan adalah bergantung pada struktur bumbung di setiap rumah.

Tambahnya lagi, sesetengah rumah misalnya jenis banglo akan menggunakan jumlah kapasiti pemasangan sekitar lima kilowatt (kWp) hingga enam kWp untuk setiap jam.

Katanya, ia dengan mengambil kira jika penghuni kediaman tersebut tidak memasang suis dan menggunakan peralatan elektrik seperti penyaman udara secara kerap.

"Jika mengikut perkiraan tersebut, jumlah kos pemasangan dianggarkan sekitar RM22,000 hingga RM24,000.

"Pengguna boleh membuat keputusan berapa kapasiti yang ingin dipasang," kata beliau.

Siong Hook

Siong Hook turut menjelaskan, pemasangan sistem solar PV boleh mengurangkan kos elektrik yang perlu dibayar secara bulanan.

Menurutnya, pulangan pelaburan sistem solar PV kebiasaannya agak pendek disebabkan perbelanjaan modal (Capex) yang tinggi.

"Namun kini ia kembali menjadi lebih cepat, berbanding tahun-tahun sebelumnya yang mana pulangan adalah lebih tinggi secara relatif.

"Justeru, pengguna wajar untuk mempertimbangkan penggunaan sistem solar PV kerana tenaga yang diperoleh daripada matahari adalah secara semula jadi.

"Ia dapat mengurangkan permintaan separa daripada bekalan tenaga yang dibekalkan oleh syarikat utiliti jika lebih ramai isi rumah berbuat demikian," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram