PENGAWAL peribadi, Muhammmad Nur Hadith Zaini yang ditembak di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selesai menjalani pembedahan selama lima jam di Hospital Cyberjaya pada Selasa.
Isteri kepada mangsa, Siti Noraida Hassan berkata, suaminya dimasukkan ke bilik bedah sebelum selesai dibedah pada pukul 4.30 petang.
"Dia akan berada di bawah pemerhatian untuk kira-kira lima atau enam hari. Dia juga mungkin perlu menjalani rawatan dialisis buat sementara waktu kerana terdapat kecederaan di limpa.
BACA LAGI: Tembak KLIA: Saya perlukan 7 peguam, kata suspek lepas direman seminggu bermula Selasa
"Keadaannya stabil ketika ini. Mohon doakan kesembuhan buat saya," katanya sambil menyatakan Muhammad Nur Hadith belum sedar sejak pembedahan itu selesai.
Ahad lalu, pengawal peribadi berusia 37 tahun berkenaan dikejarkan ke hospital selepas ditembak di perut ketika cuba mempertahankan Farah Cie.
Wanita yang merupakan bekas isteri kepada suspek menjadi sasaran dalam insiden itu terselamat dan pihak polis memaklumkan kejadian bermotifkan isu peribadi antara kedua-dua mereka.
Suspek berusia 38 tahun, Hafizul Harawi kemudiannya ditahan dua hari di Kelantan sebelum dibawa pulang ke Selangor pada pagi Selasa. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram