Positif syabu, bapa kandung disyaki bunuh bayi kandung berusia 6 bulan di Beranang


  • 112
  • Rabu, 17 Apr 2024

DALAM kejadian tersebut, suspek pada awalnya membuat laporan polis memaklumkan keadaan bayi itu yang sudah tidak sedarkan diri. — Gambar hiasan

POLIS menahan seorang lelaki disyaki membunuh bayi kandungnya yang baru berusia enam bulan di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor, pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohamad Nasir Drahman berkata, lelaki berumur 25 tahun itu ditahan di perkarangan Unit Forensik Hospital Kajang pada pukul 11.30 malam hari sama kejadian.

BACA LAGI: Perang dunia ke-3 boleh tercetus jika Israel dibiar terus cabul undang-undang antarabangsa

Mohamad Nasir berkata, dalam insiden tersebut, suspek pada awalnya membuat laporan polis pukul 8.52 pagi memaklumkan keadaan bayi lelaki itu yang sudah tidak sedarkan diri.

"Pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan pada badan bayi itu, namun hasil bedah siasat mengesahkan terdapat kecederaan di kepala, yang bukan disebabkan oleh kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan.

BACA LAGI: [VIDEO] Pangkalan udara Israel jadi sasaran peluru berpandu Iran

Mohamad Nasir berkata, suspek yang didapati positif dadah jenis syabu direman sehingga 22 April ini untuk siasatan lanjut.

Menurut beliau, kes diklasifikasikan sebagai kejadian bunuh yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Paada masa sama, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya hadir ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superitendan S. Vekram di talian 019-4737108 bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram