KES demam denggi di seluruh negara semakin membimbangkan apabila menunjukkan peningkatan jumlah kematian sebanyak 58 peratus bagi tiga bulan pertama pada 2024 berbanding tahun lalu.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan memaklumkan bahawa sejumlah 135 lokaliti hotspot dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-13 dengan Selangor paling tinggi membabitkan 114 lokaliti.
Selain itu, 10 lokaliti lagi dicatatkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, diikuti lima di Pulau Pinang, Negeri Sembilan (4) dan Kedah (2).
Peningkatan angka kes denggi ketika ini membuka mata ramai pihak untuk lebih berwaspada terhadap penyakit itu.
Operasi mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk pada Januari lepas.
Mengulas mengenai perkara itu, Pakar Perubatan Kecemasan, Dr Aaron Lai Kuo Huo menekankan kepentingan pengesanan awal jangkitan denggi bagi memudahkan rawatan segera dan mengurangkan risiko komplikasi yang mungkin berlaku.
Terdapat banyak tanda amaran yang perlu diberi perhatian mengikut Panduan Amalan Klinikal Kementerian Kesihatan (KKM).
Antaranya adalah seperti sakit perut, muntah berterusan melebihi tiga kali sehari, cirit-birit berterusan melebihi tiga kali sehari, mengantuk, sukar bernafas, gusi atau hidung berdarah, serta najis berwarna hitam.
Selain itu, terdapat gejala utama yang lain seperti sakit kepala, sakit badan, ruam dan sakit di belakang mata.
“Pesakit perlu segera mendapatkan rawatan perubatan di jabatan kecemasan atau klinik pengamal am (GP) bergantung kepada tahap keterukan dan kebolehcapaian," katanya.
BACA LAGI: Simpan bukti kena buli, dapatkan bantuan elak alami depresi
Kes denggi meningkat sebanyak 58 peratus bagi tiga bulan pertama pada 2024 berbanding tahun lalu.
Mengulas lanjut, Dr Aaron berkata, seseorang haruslah mengutamakan rawatan perubatan di jabatan kecemasan hospital sekiranya mengalami sebarang gejala atau tanda amaran yang teruk.
Walaupun simptom ini mungkin menyamai penyakit biasa yang lain seperti selesema, Dr Aaron berkata, kebiasaannya pesakit demam denggi turut mengalami sakit otot dan sendi yang lebih teruk.
Lebih parah, pesakit boleh terkena komplikasi lebih kronik seperti demam denggi berdarah (DHF) atau sindrom kejutan denggi (DSS).
"Ciri-ciri DHF dan DSS ialah pendarahan dalaman yang teruk, kiraan platelet yang rendah, kebocoran plasma, dan kerosakan organ," katanya.
Proses diagnostik biasa untuk demam denggi melibatkan kombinasi penilaian klinikal dan ujian makmal.
Menurutnya lagi, doktor akan menilai simptom pesakit yang biasanya dikaitkan dengan demam denggi.
Antara persoalan yang akan diperiksa oleh doktor adalah sama ada pesakit tinggal di kawasan endemik denggi atau pernah mengunjungi kawasan wabak denggi dalam masa terdekat.
Selain itu, doktor akan menilai status hemodinamik pesakit dan memeriksa tanda-tanda komplikasi pendarahan akibat denggi.
Diagnosis definitif denggi juga memerlukan pengesahan makmal disebabkan diagnosis klinikal denggi bersifat tidak spesifik.
Dr Aaron berkata, kiraan platelet dan bilangan sel darah putih yang rendah adalah sesuatu yang biasa berlaku apabila mengalami denggi.
Dalam kes demam denggi yang teruk, imbasan sinar-x pada bahagian dada atau pengimejan ultrabunyi (point-of-care ultrasound) pada anggota badan lain akan dilakukan untuk mengesan sekiranya terdapat pengumpulan cecair akibat saluran darah yang rosak serta menilai tahap kerosakan organ.
“Melalui penilaian klinikal dan ujian makmal, doktor boleh memastikan kebarangkalian jangkitan denggi, fasa jangkitan denggi dan tahap keterukan penyakit itu,” katanya.
Petanda tubuh badan seseorang mengalami jangkitan denggi.
Tahap jangkitan denggi
Fasa Demam (Febrile Phase) merupakan demam yang berlanjutan selama tiga hingga lima hari.
Dalam fasa ini, pesakit akan mengalami demam dan sakit sendi, sakit otot, sakit kepala, serta gejala lain.
Perubahan paling ketara dalam kiraan darah lengkap ialah penurunan mendadak kiraan sel darah putih, diikuti dengan pengurangan paras platelet.
Selepas itu, pesakit mungkin memasuki Fasa Kritikal yang boleh bertahan antara 48 hingga 72 jam.
Seseorang yang memiliki simptom perlulah merujuk kepada doktor untuk pengesahan mengenai penyakit yang dialami.
Pada peringkat ini, pesakit mungkin mengalami gangguan peredaran darah yang berbeza-beza sehingga berkemungkinan mengalami komplikasi teruk seperti pendarahan dalaman, pembentukan lebihan cecair dalam paru-paru atau perut, tekanan darah rendah, kegagalan buah pinggang dan hati serta koma.
Bagaimanapun, dalam kes ringan, pesakit selalunya tidak akan mengalami sebarang peredaran darah yang luar biasa dan akan pulih dengan sendirinya.
Selepas Tahap Kritikal, pesakit akan melalui Fasa Pemulihan apabila gejala denggi beransur hilang, manakala kiraan platelet darah dan sel darah putih kembali kepada normal.
“Pesakit yang dijangkiti virus denggi perlu dirujuk kepada fasiliti penjagaan kesihatan bagi mendapatkan diagnosis yang tepat dan memberikan rawatan yang betul.
“Sebagai contoh, pesakit yang mengambil ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) seperti aspirin dan masih mengambilnya biarpun setelah dijangkiti denggi, berpotensi meningkatkan risiko pendarahan.
"Segeralah merujuk kepada doktor untuk mengharungi fasa yang mencabar itu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram