[VIDEO] Harga petrol, diesel naik sebelum raya hanya khabar angin — Rafizi


  • Primer
  • Sabtu, 23 Mac 2024

Rafizi (Gambar Kecil) menafikan khabar angin harga petrol RON95 dan diesel akan naik sebelum Aidilfitri ini selepas pelaksanaan subsidi bersasar.

MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli, menafikan khabar angin harga petrol RON95 dan diesel akan naik sebelum Aidilfitri ini selepas pelaksanaan subsidi bersasar.

"Ia tidak benar dan kami telah menjelaskan bahawa kami mahu terlebih dahulu menyediakan semua bantuan dan sistem sokongan untuk rakyat sebelum sebarang keputusan mengenai subsidi petrol.

"Keputusan seperti kenaikan harga petrol tidak mungkin dibuat memandangkan ia terlalu hampir dengan tarikh pelaksanaan PADU.

"Kerajaan juga mengumumkan sebelum ini pelaksanaan subsidi bersasar akan berlangsung pada suku kedua ke atas kerana bila kita lihat garis masa, kita memang perlukan suku pertama kira-kira empat ke lima bulan pertama untuk menyelesaikan sistem sokongan untuk bantuan kepada orang ramai," katanya pada Sabtu.

BACA LAGI : 'Tengoklah nanti', rakyat resah rumours harga petrol RON95 naik makin kuat

BACA LAGI : [VIDEO] Pemergian yang dicemburui, imam meninggal dunia ketika imamkan solat Subuh di Segamat

Tambah Rafizi lagi, kerajaan tidak akan melanjutkan tarikh akhir 31 Mac yang ditetapkan untuk PADU dan menasihatkan mereka yang masih belum mendaftar untuk berbuat demikian secepat mungkin.

"Ia penting bagi kerajaan untuk penstrukturan semula subsidi yang dirancang dan disasarkan. Melanjutkan (tarikh akhir) akan menyebabkan kerajaan menanggung kos tambahan RM2 bilion sebulan dalam subsidi bahan api," katanya.

Rafizi turut menyuarakan kebimbangannya terhadap rendahnya pendaftaran PADU di Selangor.

PADU, yang dibangunkan pada 2023 dengan kerjasama Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), akan membantu kerajaan mendapatkan gambaran yang lebih baik tentang pendapatan isi rumah negara.

Ia juga akan digunakan untuk membantu membuat dasar serta mengagihkan subsidi dengan lebih berkesan.

PADU juga akan berfungsi sebagai garis panduan pelaksanaan subsidi bersasar untuk petrol RON95. — The Star/WANI MUTHIAH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram