Tiada bonus kerana insentif khas RM2,000 sebelum ini termasuk sambutan Aidilfitri — Anwar Ibrahim


  • Primer
  • Sabtu, 23 Mac 2024

Anwar menjelaskan, kerajaan baharu sahaja meluluskan insentif awal kajian sistem saraan perkhidmatan awam berjumlah RM2,000 pada 28 Februari lalu.

TIADA bonus untuk penjawat awam pada Aidilfitri tahun ini, kata Perdana Menteri.

Ini kerana, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, pemberian insentif khas RM2,000 sebelum sudah termasuk untuk tujuan sambutan Aidilfitri.

"Yang dapat RM2,000 itu penjawat awamlah, untuk skim persaraan akan naik lagi.

"Jadi, berita terlalu baik untuk penjawat awam, RM2,000 itu (adalah) untuk raya sekalilah tu," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan di Bazar Ramadan Mahkota Square di sini pada Sabtu.

BACA LAGI : 'Naik yuran baru win-win,' ada cadangan mahu kebajikan guru PASTI dijaga

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pada 15 Mac lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa agar kerajaan memberikan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan sempena Aidilfitri.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat dilaporkan merayu supaya kerajaan mengekalkan tradisi bantuan khas perayaan sejak 10 tahun lalu.

BACA LAGI : [VIDEO] Harga petrol, diesel naik sebelum raya hanya khabar angin — Rafizi

Sementara itu, Anwar menjelaskan, kerajaan baharu sahaja meluluskan insentif awal kajian sistem saraan perkhidmatan awam berjumlah RM2,000 pada 28 Februari lalu.

"Kita baru lulus RM2,000 kepada penjawat awam dan ini lebih daripada tahun sudah.

"Kemudian dalam beberapa bulan ini kita akan luluskan skim persaraan, naikkan gaji," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram