NEGARA pada Selasa dikejutkan dengan berita kematian anak perempuan kepada Ketua Polis Daerah Lahad Datu yang maut selepas dipercayai secara tidak senjaga tertembak diri sendiri menggunakan pistol milik bapanya ketika berada di rumah.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 14 tahun dilaporkan ditemui dalam keadaan berlumuran darah di sebuah bilik dalam kediaman keluarganya dekat Taman Tabanak, Lahad Datu, Sabah pada pukul 12.42 tengah hari.
Difahamkan, ketika insiden tersebut, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berada di pejabatnya di IPD Lahad Datu.
Pistol miliknya itu dikatakan tertinggal di rumah dan anaknya dipercayai memegang senjata api itu sebelum secara tidak sengaja tertembak dirinya sendiri.
Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Saad berkata, insiden sedemikian sememangnya boleh memberi kesan cukup mendalam kepada individu terlibat.
Katanya, impak tersebut termasuk kesan psikologi yang kompleks seperti rasa trauma, bersalah, dan kebingungan.
"Jika tidak mendapat sokongan yang bersesuaian, pegawai itu berpotensi menjadi stres, depresi atau kesan yang lebih buruk lagi jika mendapat tekanan sekeliling," katanya kepada Majoriti.
Sehubungan itu, beliau berkata, adalah penting untuk pihak berkaitan menyediakan sokongan psikologi bersesuaian termasuk bantuan kaunseling dan sokongan emosi.
Katanya, penyediaan akses kepada terhadap perkhidmatan kaunseling dan sokongan emosi itu cukup penting bagi membantu mereka menguruskan emosi, meredakan trauma, dan merangsang pemulihan.
Selain itu, beliau berkata, langkah lain boleh diambil termasuk melaksanakan program intervensi krisis melibatkan kaunseling kelompok atau individu.
BACA LAGI: Tembak KLIA: Saya perlukan 7 peguam, kata suspek lepas direman seminggu bermula Selasa
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 14 tahun dilaporkan ditemui dalam keadaan berlumuran darah di sebuah bilik dalam kediaman keluarganya dekat Taman Tabanak, Lahad Datu, Sabah pada pukul 12.42 tengah hari. — Gambar hiasan
BACA LAGI: Suspek kes tembak di KLIA ditahan polis di Kelantan, kereta dipandu bukan milik Hafizul Harawi
Ujarnya, langkah ini bertujuan bagi memberikan ruang kepada mereka terlibat untuk mengeluarkan emosi dan perbincangan terbuka.
"Selain itu, sokongan daripada keluarga atau individu terdekat dalam proses pemulihan juga perlu bagi menyokong pegawai terlibat.
"Pada masa sama, aspek penyediaan sumber rujukan juga perlu diambil kira khususnya dalam menyedikan akses kepada pakar kesihatan mental dan psikoterapi bagi yang memerlukan rawatan lanjutan termasuk ahli keluarga lain," tambahnya lagi.
Fauziah berkata, pemantauan terhadap keadaan kesihatan mental secara berterusan turut perlu dilakukan bagi mengenal pasti sama ada pegawai terlibat memerlukan bantuan tambahan.
Mengulas mengenai tempoh pemulihan diperlukan bagi kes sedemikian, beliau berkata, perkara itu bergantung kepada tahap kekuatan psikologi individu terbabit.
Ini kerana menurutnya, hal tersebut adalah berbeza bagi setiap orang.
"Ada sesetengah individu, mungkin daya ketahanan mental dia kuat. Jadi dia hanya bersedih sahaja. Tapi untuk individu lain, dia mungkin boleh jatuh ke tahap depresi," ujarnya.
Disebabkan itu, beliau berpandangan dalam situasi kes tersebut, semua pihak seharusnya memberi ruang kepada keluarga mangsa terbabit lebih-lebih lagi kes berkenaan masih lagi sedang dalam siasatan.
Mengenai keperluan untuk merehatkan pegawai terbabit, Fauziah berkata, perkara itu adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) pihak polis dalam menguruskan kes tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram