
KES buli dan tingkah laku ganas yang melibatkan murid sekolah semakin membimbangkan sehingga ada yang membawa kepada kematian.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada November lalu mendedahkan jumlah kes buli di sekolah kian meningkat di negara ini dengan 4,994 kes direkodkan dalam tempoh 10 bulan tahun lalu berbanding 3,887 kes pada tempoh sama tahun sebelum ini.
Pelbagai cadangan dan usaha yang dilaksanakan sepertinya masih gagal membendung gejala tersebut, malahan semakin kerap berlaku seperti yang dilaporkan media.
Terbaharu, berlaku lagi kes buli melibatkan seorang murid, Muhd Nazmie Aizat Muhd Narul Azwan, 17, yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh warden asrama pada pukul 6.50 pagi pada Jumaat lalu.
Mangsa dipercayai dibelasah sampai mati apabila beberapa kesan kecederaan serta lebam dilihat pada bahagian badan mangsa, Muhd Nazmie semasa diperiksa di Hospital Lahad Datu, Sabah.
Lebih tragik, selepas kematian pelajar ini, ramai mulai berani membuka mulut menyatakan bahawa mereka juga pernah menjadi mangsa buli semasa berada di zaman persekolahan.
Ini membuktikan, kejadian dibuli yang sudah berlaku bertahun-tahun lamanya masih segar di ingatan mangsa seolah-olah meninggalkan trauma dalam diri masing-masing.
Rafidah Sadarudin merupakan Pegawai Psikologi Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, UPM.
Menurut Pegawai Psikologi Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Rafidah Sadarudin, perbuatan buli bukan sahaja memberi kesan kepada fizikal seseorang tetapi juga boleh mengundang masalah kesihatan mental.
Rafidah berkata, pengalaman yang dilalui mangsa buli akan menyebabkan depresi yang signifikan dan mengganggu kesejahteraan mental.
‘Buli ini akan menganggu pemikiran, perasaan dan tingkah laku mangsa.
“Gara-gara dibuli ini, mangsa akan rasa takut, berasa tidak yakin dengan diri, tekanan yang besar dan menganggu hidup klien keseluruhannya," katanya kepada Majoriti.
Malah, tidak semua mangsa buli memiliki orang terdekat yang dipercayai yang menyukarkan mereka untuk memohon bantuan atas masalah yang dialami.
"Ini lebih terbeban apabila mangsa tidak mempunyai sahabat untuk bercakap dan bercerita apatah lagi memohon bantuan.
"Mangsa akan mengalami perasaan sedih, putus asa, atau kehilangan minat dalam kegiatan sehari-hari," katanya.
Tidak hanya itu, perkara ini juga akan menyebabkan pola pemakanan seseorang tidak teratur selain pola tidur yang tidak menentu.
Rafidah turut memberikan beberapa kaedah yang perlu dilakukan oleh seseorang yang menjadi mangsa buli:
1. Meluah kepada orang lain
Seseorang yang dibuli perlulah bercerita kepada orang lain tentang masalah yang dihadapi supaya mampu mendapatkan sokongan dari segi emosi dan perlindungan yang sewajarnya.
Antara individu yang perlu didedahkan tentang masalah buli yang terjadi kepada diri seseorang adalah ibu bapa, kaunselor, guru dan kawan-kawan.
2. Setiap pelajar harus didedahkan dan diajar dengan sikap asertif
Sikap asertif adalah tegas dalam berbicara, mampu berkomunikasi dengan jujur dan tegas, namun tetap menghargai dan menjaga perasaan orang lain
"Kalau bersikap pasif maka diri akan dimanipulasi kalau bersikap agresif diri tidak disukai. Komunikasi asertif dapat membantu," katanya.
3. Memiliki keyakinan diri yang tinggi
Ibu bapa memainkan aspek yang penting bagi membentuk keyakinan diri anak mereka.
"Boleh dididik sejak kecil untuk berdepan dengan orang contohnya bayar duit di kaunter kedai makan," katanya.
Selain itu, ibu bapa juga boleh melatih anak-anak untuk membuat keputusan sendiri agar mereka mampu meningkatkan keyakinan diri mereka.
"Sedikit demi sedikit dan mereka tahu suara mereka didengari, latihan ini perlu diterap dari kecil," katanya.
BACA LAGI: Irfan Harris rindu puasa PKP, gembira masih dapat jadi imam solat tarawih bersama keluarga
Mangsa buli perlulah menyimpan bukti sebagai satu cara memudahkan proses pelaporan dibuat.
4. Mendapatkan khidmat kaunselor atau psikologi
Bantuan kaunselor atau perunding psikologi amat penting untuk membentuk personaliti yang sejahtera dan nilai diri yang utuh.
Dengan cara ini dapat menjadikan seseorang pelajar berjiwa kental.
5. Menyimpan bukti
Mangsa yang dibuli perlulah mencatat atau menyimpan bukti kejadian yang dialami untuk memudahkan proses pelaporan yang akan dibuat kelak.
Sebagai contoh, gambar berkait kecederaan pada badan boleh disimpan bagi mengukuhkan laporan.
6. Kempen anti buli
Pihak sekolah perlu mengadakan kempen anti buli secara berterusan dengan pengisian yang mendidik mangsa dan mencegah buli dilaksanakan.
Dengan menyertai kempen ini mampu memupuk kesedaran ramai dan individu saling berkembang menjadi masyarakat berminda kelas pertama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram