SEORANG paderi dan beberapa pengunjung di sebuah gereja dekat Sydney berdepan detik mengerikan selepas mereka diserang seorang lelaki yang bertindak menikam dengan menggunakan pisau.
Rakaman mengenai kejadian tersebut turut tular memaparkan detik-detik ketika paderi di rumah ibadat berkenaan, Mari Emmanuel diserang semasa sedang memberikan khutbah di atas pentas.
Dia ketika itu sedang menceritakan tentang pengalamannya berkunjung ke Gaza.
Menerusi klip berkenaan, dia dilihat didatangi seorang lelaki yang secara tiba-tiba menaiki pentas tempatnya sedang berucap sebelum bertindak menikam ke arah badannya berkali-kali.
Kejadian menakutkan itu berlaku di Gereja The Good Shepherd di Wakeley di barat Sydney pada Isnin petang.
Maklumat dikongsikan di media sosial memaklumkan orang ramai yang berada di dalam gereja tersebut kemudiannya berjaya menahan suspek sejurus serangan berkenaan.
BACA LAGI: Perang dunia ke-3 boleh tercetus jika Israel dibiar terus cabul undang-undang antarabangsa
Suspek juga difahamkan di dalam gereja tersebut sebelum ditangkap oleh pihak berkuasa.
Menerusi rakaman siarang langsung di YouTube gereja itu, paderi berkenaan didapati terkejut apabila dia tiba-tiba diserang oleh suspek.
Ketika serangan itu, dia dilihat menerima tikaman di bahagian muda dan kepala.
Pada masa sama, terdapat laporan mendakwa sekurang-kurangnya seramai tiga lagi mangsa dipercayai turut ditikam dalam kejadian itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Pangkalan udara Israel jadi sasaran peluru berpandu Iran
Bagaimanapun, polis berkata, kesemua mangsa terlibat sedang dirawat di hospital dan hanya mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa.
Dalam pada itu, Polis New South Wales berkata, seorang lelaki telah ditahan bagi membantu siasatan kes serangan tersebut.
Kejadian menakutkan itu berlaku tidak sampai dua hari selepas kejadian serangan kejadian tikaman yang mengorbankan lima orang di pusat beli-belah Westfield Bondi Junction dekat bandar raya tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram