SABAN tahun, tidak sah sekiranya tidak berlaku sebarang tragedi ketika musim perayaan Aidilfitri, tidak kira sama ada kemalangan, kebakaran mahupun kecederaan ketika bermain bunga api atau mercun.
Membakar mercun sememangnya bagaikan satu tradisi wajib dilakukan semasa menyambut raya untuk mewujudkan suasan meriah dalam menyambut hari kemenangan itu.
Namun, tanpa sedar ia boleh memudaratkan dan membahayakan diri serta nyawa insan tersayang.
BACA LAGI: Bomba terpaksa potong pembahagi jalan, lelaki maut tersepit motor terbabas
Kes melecur ketika bermain bunga api atau mercun masih belum direkodkan pada Aidilfitri 2024. — Gambar hiasan
Walaupun, tiada lagi insiden melecur akibat bermain mercun dilaporkan berlaku buat masa ini, orang ramai digalakkan berhati-hati melakukan aktiviti tersebut.
Justeru, terdapat tiga kes dan kejadian menyakitkan yang harus dijadikan sebagai teladan kepada seluruh rakyat Malaysia ketika menyambut lebaran.
1. Putus jari ketika bermain mercun
Antara kes perlu dijadikan teladan bagi peminat bunga api atau mercun adalah kejadian seorang pelajar putus lima jari tangan kanannya.
Kejadian yang berlaku di Besut, Terengganu pada Mei 2019 itu menyebabkan cedera parah di pergelangan tangan kanan dan putus kesemua jarinya.
Mangsa, Syafiq Haikal Shaharrudin, 13, ketika itu bermain mercun di rumahnya bersama saudaranya.
BACA LAGI: Polis pun jadi mangsa, geng 'sunat laser' dikecam main bunga api macam benak ubi
Syafiq Haikal yang putus lima jari kanannya. — Facebook
Bukan itu sahaja, kejadian sama turut berlaku pada seorang kanak-kanak di Kota Bharu, Kelantan pada Mei, 2021.
Kejadian menyakitkan itu terjadi apabila terkena mercun bola yang pada awalnya disangka tidak meletup selepas dibaling sehari sebelum menyambut raya.
2. Budak maut kepala terkena mercun
Mercun bukan sahaja boleh menyebabkan kecederaan malah meragut nyawa insan tidak bersalah.
Sama seperti kes kematian seorang kanak-kanak perempuan, Nuraqira Khaeefa Muhammad Saad, 7, di Kota Tinggi, Johor pada Jun 2018.
Lebih menyedihkan apabila mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala selepas terkena serpihan mercun pada malam raya.
Aqira meninggal dunia selepas beberapa hari terlantar di hospital. — Facebook
Namun, kejadian itu sebenarnya berpunca daripada tindakan seorang lelaki, Nor Isham Tukiman, 35, bermain mercun kelapa tanpa permit sehingga menyebabkan kematian orang lain.
Beberapa hari selepas tragedi itu, tertuduh didakwa menyalakan mercun kelapa dan meletakkannya ke dalam paip PVC biru.
Malangnya, mercun tersebut dilaporkan telah meletup di atas tanah berhampiran dengan rumah mangsa.
Beberapa serpihan mercun yang meletup itu juga terpelanting dan melekat di kepala mangsa.
3. Bayi sawan dengar bunyi mercun
Memeriahkan suasan raya dengan bunyi letupan mercun sememangnya tidak salah.
Namun, jika sudah menjadi punca kepada kematian seseorang, maka ia perlu dielakkan.
Bayi baru berusia 38 hari itu meninggal dunia akibat diserang sawan selepas terkejut mendengar bunyi kuat mercun. — Agensi
Sama seperti kes yang pernah menggemparkan seluruh rakyat Malaysia iaitu melibatkan seorang bayi berusia 38 hari.
Bayi tersebut dilaporkan meninggal dunia akibat serangan sawan selepas terkejut dengan bunyi kuat bunga api dan mercun berhampiran rumahnya.
Meskipun kejadian itu berlaku di Indonesia pada Mei 2023, ia juga perlu membuka mata setiap individu yang mahu bermain mercun berlebih-lebihan ketika Aidilfitri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram