Iran tunjuk surat PBB sebab serang rejim Zionis


  • Benua
  • Ahad, 14 Apr 2024

Iran pada Sabtu melancarkan lebih 200 dron dan peluru berpandu ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel yang menyerang konsulatnya di Damsyik pada 1 April lalu. — Agensi

ISRAEL meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengadakan mesyuarat tergempar dengan kadar segera susulan serangan dilakukan Iran terhadap wilayahnya.

Menerusi surat diutuskan Duta Besar Israel ke PBB, Gilad Erdan kepada rakan sejawatannya dari Malta yang kini mengetuai badan tertinggi itu, beliau meminta PBB untuk mengutuk serangan dibuat oleh Iran.

Erdan juga menggesa PBB agar segera bertindak mengisytiharkan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang merupakan cabang utama pelbagai perkhidmatan Angkatan Tentera Iran, sebagai organisasi pengganas.

Surat itu turut menyifatkan serangan terbabit yang disifatkan menjejaskan resolusi Majlis Keselamatan, memupuk ketidakstabilan, menimbulkan ancaman besar kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Iran pada Sabtu melancarkan lebih 200 dron dan peluru berpandu ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel yang menyerang konsulatnya di Damsyik pada 1 April lalu.

Serangan dibuat rejim berkenaan menyaksikan pembunuhan tujuh pegawai Pengawal Revolusi termasuk dua komander kanan.

BACA LAGI: Perang dunia ke-3 boleh tercetus jika Israel dibiar terus cabul undang-undang antarabangsa

2642041

Iran melancarkan serangan sebagai tindak balas atas pengeboman dibuat Israel ke atas bangunan konsulatnya di Damsyik, Syria 1 April lalu. — Agensi

BACA LAGI: [VIDEO] Pangkalan udara Israel jadi sasaran peluru berpandu Iran

Dalam pada itu, wakil tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, serangan dilakukan ke atas Israel sebagai mengikut lunas undang-undang.

Memetik Artikel 51 Piagam PBB, Iran menegaskan republik itu mempunyai hak mempertahankan diri susulan serangan dibuat Israel ke atas bangunan konsulatnya di Damsyik baru-baru ini.

Menerusi catatannya di laman X, wakil Iran turut memberi amaran kepada Amerika Syarikat supaya menjauhkan daripada konflik Iran-Israel.

Pada masa sama, IRGC dalam satu kenyataan menegaskan bahawa serangan dron yang dilakukan pasukan itu adalah atas alasan yang kukuh.

Ia selepas rejim Zionis itu mengabaikan arahan Majlis Keselamatan PBB supaya menghentikan pencerobohan dan jenayahnya dalam serangan ke atas konsulat Iran di Damsyik. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram