PADA Jumaat lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkongsikan berita gembira mengenai kepulangan keluarganya ke Malaysia selepas lebih enam bulan terperangkap di Gaza, Palestin.
Difahamkan, dia yang pernah menetap di Gaza itu terpaksa berpisah dengan keluarganya sejak tempoh bermula krisis peperangan antara Hamas dan Israel di Semenanjung bergolak itu pada awal Oktober tahun lalu.
Dalam hantaran terbaharunya pada Isnin, Muhammad Nadir tampil berkongsikan lebih terperinci mengenai misi dijalankan bagi membawa keluar insan tersayangnya itu termasuk watak penting yang menjayakannya.
Menurut aktivis kemanusiaan itu, dia pada awalnya berpeluang bertemu individu utama yang melaksanakan misi tersebut ketika awal Ramadan lalu.
"Kisah bermula saat Gaza sedang sengit berperang manakala keluarga saya berjaya mengharungi kepayahan dan sampai ke Rafah untuk menyelamatkan diri.
"Saya bersama sahabat merangkap kekanda kami, Dr Sani Araby MAPIM diberikan peluang bertemu watak utama misi menyelamat sebulan lepas di satu majlis di Shah Alam, beberapa hari sebelum beliau ke Berlin.
"Dalam ramainya orang, sempat saya maklumkan keluarga terkandas di Rafah. Beliau hanya sempat membelek kiriman kami, memberikan respons ringkas 'saya akan bantu' dan terus menaiki kenderaannya memecut ke majlis seterusnya," tulisnya.
Menurut aktivis kemanusiaan itu, dia pada awalnya agak sedikit kelunturan semangat mendengarkan maklum balas diberikan individu tersebut.
"Hati saya mula luluh, mungkin itu bahasa orang politik saja. Namun dalam surat saya, ada saya akhiri ayat dengan 'Kepada Allah jualah kami berserah'.
"Saya langsung tawakal dan serahkan segalanya kepada Allah," ujarnya lagi.
BACA LAGI: Perang dunia ke-3 boleh tercetus jika Israel dibiar terus cabul undang-undang antarabangsa
Muhammad Nadir (tengah) bergambar bersama anaknya ketika menyambut Aidilfitri. — Facebook/NadirAl-Nuri
Kemudiannya, Muhammad Nadir berkata, dia kemudiannya dihubungi oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Farhan Fauzi betul-betul sehari sebelum Aidilfitri.
Menurut beliau, pada waktu itu, dia mendapati nada yang dilontarkan oleh Farhan yang disifatkan sebagai watak penting yang mengusahakan misi tersebut ketika perbualan tersebut agak berbeza.
"Kali ini nadanya berbeza, agak serius dan beliau memaklumkan kami untuk datang ke satu lokasi khas. Saya dan Sani saja dibenarkan ke sana! Allahuakbar.
"Ada apa pula ni? Saat sampai ada kenderaan hitam menanti. Risau juga macam dalam movie," kongsinya.
Muhammad Nadir berkata, sejak awal peperangan di Gaza, Farhan sememangnya kerap memberikan jemputan untuk hadir ke pejabat bagi bertanyakan keadaan mengenai keluarganya dan perkembangan di Gaza.
Muhammad Nadir (dua dari kiri) ketika bertemu dengan Farhan (dua dari kanan). — Facebook/NadirAl-Nuri
Sebaik tiba di lokasi tersebut, beliau berkata, dia sangat terkejut kerana dia diterpa oleh anakandanya yang sebelum ini hanya hadir dalam mimpinya sejak sekian lama pada waktu malam.
"Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan.
Saya sudah biasa melalui perang di Gaza, melihat kehilangan dan air mata serta cekalnya kehidupan.
"Tetapi misi ini saya katakan 'Misi Gila' kerana bukan mudah untuk dikeluarkan keluarga saya saat bedilan roket dan hentaman bom bertali-arus, malah ketegangan di sempadan juga berlanjutan.
"Namun secara senyap pemimpin negara menghubungi pihak sana; ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah yang lain.
"Prosesnya cepat, teratur dan lancar walaupun penuh dengan 1001 cabaran tersirat. Kisahnya akan keluar satu demi satu tetapi tak semua saya berhak untuk kongsikan.
"Tetapi watak utama dalam 'Misi Gila' ini adalah Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri!" katanya.
Dalam hantaran sama, Muhammad Nadir turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam misi menyelamat tersebut.
"Semoga Allah sahaja membalas jasa kalian semua, Aminn," tulisnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Pangkalan udara Israel jadi sasaran peluru berpandu Iran
Sebelum ini, Muhammad Nadir memaklumkan, keputusan untuk membawa keluar keluarganya dari Gaza kerana situasi kesihatan seorang anaknya yang sedang menghadapi komplikasi pernafasan dan perlu mendapatkan rawatan di hospital.
Sementara itu, Anwar menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin melahirkan kesyukuran atas kejayaan untuk membawa keluar keluarga aktivis kemanusiaan itu daripada kawasan konflik di Gaza.
Beliau turut berkongsikan penghargaan terhadap rakan sejawatnya yang bertanggunjawab membantu menjayakan misi berkenaan.
"Alhamdulillah, keluarga saudara Nadir berjaya disatukan. Penghargaan tidak terhingga buat sahabat saya Presiden Abdel Fattah Al Sisi dan kerajaan Republik Arab Mesir atas kerjasama yang diberikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram