Tentera Iran rampas kapal Israel di Selat Hormuz


  • Benua
  • Sabtu, 13 Apr 2024

Tentera Iran merampas kapal milik rejim Zionis di selat Hormuz.

KETEGANGAN antara Iran dan Israel makin memuncak apabila tentera negara republik Islam itu merampas kapal milik rejim Zionis di Selat Hormuz.

Kapal kargo Israel itu dirampas oleh askar elit Iran, Kor Pengawal Revolusi Islam yang kehilangan tujuh anggota termasuk dua berpangkat jeneral dalam serangan di Syria baru-baru ini.

"Kapal itu kini dibawa ke perairan negara kita," lapor agensi berita Iran, IRNA.

Kapal yang menggunakan bendera Portugal, MSC Aries dilaporkan belayar dari pelabuhan Emiriah Arab Bersatu dan dalam perjalanan ke India.

Rakaman rampasan itu turut menunjukkan sekumpulan tentera menuruni helikopter sebelum menguasai kapal itu.

MSC mengesahkan 25 kru berada di atas kapal tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Iran lancar dron, peluru berpandu serang Israel

Menteri Luar Israel dalam kenyataannya menyifatkan kejadian itu sebagai kegiatan lanun yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Perkembangan itu berlaku ketika Iran dilaporkan sedia menyerang Israel dalam tempoh 24 jam.

Amaran mengenai kemungkinan itu meningkat selepas serangan dilakukan Israel terhadap kedutaan Iran di Damsyik, Syria yang meragut nyawa seorang pegawai kanan tentera republik Islam berkenaan.

Amerika Syarikat (AS) dan badan perisikan lain menerusi penilaian dilakukan berkata, tindak balas daripada Iran dijangka berlaku seawal Ahad.

Presiden AS, Joe Biden memberi amaran kepada Israel mengenai kemungkinan tersebut.

Pada masa sama, dia juga memberi amaran kepada Iran supaya tidak melakukan tindakan serangan berkenaan.

BACA LAGI: Perang dunia ke-3 boleh tercetus jika Israel dibiar terus cabul undang-undang antarabangsa

"Saya tidak mahu berkongsikan maklumat yang perlu dilindungi tetapi saya menjangkakan ia (serangan Iran) mungkin lebih cepat daripada sepatutnya," kata Biden kepada pemberita selepas satu acara.

Menurut laporan daripada Wall Street Journal dan Bloomberg, serangan daripada Iran itu merupakan antara senario utama yang perlu diberi perhatian oleh rejim Israel.

Memetik kenyataan daripada individu yang mempunyai maklumat berhubung perkembangan tersebut, laporan tersebut menyatakan serangan itu mungkin melibatkan pengeboman menggunakan dron dengan peluru berpandu berketepatan tinggi yang dijangka berlaku dalam tempoh 24 jam. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram