[VIDEO] Tentera Israel kena turap landasan rosak lepas kena serang lebih 300 dron, peluru berpandu Iran


  • Benua
  • Isnin, 15 Apr 2024

Tentera Israel dilihat membaik pulih landasan rosak selepas diserang lebih 300 dron dan peluru berpandu Iran. — Agensi

SATU daripada pangkalan tentera Israel mengalami kerosakan akibat serangan ratusan dron dan peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRG) pada Ahad.

Jurucakap tentera, Daniel Hagari berkata, lebih 300 dron dan peluru berpandu dilancarkan dari Iran ke Israel dan sebuah pangkalan tentera mengalami sedikit kerosakan dalam serangan berkenaan, lapor Al Jazeera.

Hagari mendakwa, kebanyakan dron dan peluru berpandu dipintas dan ditembak jatuh oleh tentera udara sebelum mencapai sasaran.

"Berpuluh-puluh pesawat perang dikerahkan untuk memintas ancaman udara Iran.

"Pihak tentera kini berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan serangan Iran," katanya.

BACA LAGI: Mayat hampir reput ditemui di cerun bukit di Genting Highlands

BACA LAGI: [VIDEO] Pangkalan udara Israel jadi sasaran peluru berpandu Iran

Susulan serangan tersebut, tentera Israel dilihat membaik pulih landasan pangkalan utara Nevatim dalam satu hantaran di laman X.

Menerusi rakaman itu, kenderaan seperti jengkaut dan penurap digunakan menurap kembali landasan itu yang pecah gara-gara terkena impak bedilan senjata yang digunakan.

Sementara itu, Komando Barisan Dalam Negeri berkata, tentera mengumumkan penamatan serangan Iran dan keperluan untuk tinggal di tempat perlindungan di seluruh Israel tidak lagi diperlukan.

IRG mengesahkan pelancaran berpuluh-puluh dron dan peluru berpandu ke arah Israel.

Serangan di bawah operasi 'Janji Sejati' itu adalah sebahagian daripada hukuman untuk jenayah yang dilakukan Israel ke atas pencerobohan yang menyasarkan Kedutaan Iran di Damsyik pada 1 April lalu.

Dalam serangan tersebut, sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh termasuk tujuh penasihat tentera. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram