KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan produk gula-gula ginseng buatan tempatan, ‘Kingu Ginseng Candy’ yang dijual di platform dalam talian Lazada mengandungi bahan racun berjadual, tadalafil.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan siasatan dan saringan awal oleh Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) mendapati label produk tersebut juga tidak mematuhi kehendak-kehendak pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Katanya, produk tersebut tidak memaparkan maklumat seperti nama dan alamat pengilang, pembungkus, pengedar, empunya hak untuk mengilang dan pengimport.
“Sehubungan itu, pihak Lazada telah diarahkan untuk memadam kandungan iklan dan penjualan produk tersebut serta merta,” ujar KKM.
Agensi Makanan Singapura (SFA) baru-baru ini mengeluarkan nasihat terhadap pembelian produk Kingu Ginseng Candy itu yang dikesan mengandungi tadalafil.
Tadalafil merupakan sejenis ubat digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk.
Dalam pada itu, KKM berkata, ubat-ubat mengandungi tadalafil hanya boleh dibekalkan doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi doktor.
Katanya, penggunaan tadalafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan kesihatan serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat berbahaya.
BACA LAGI: Perang dunia ke-3 boleh tercetus jika Israel dibiar terus cabul undang-undang antarabangsa
Penggunaan tadalafil tanpa pengawasan doktor mendedahkan individu terhadap risiko penyakit seperti strok dan serangan jantung. — Gambar hiasan/AFP
BACA LAGI: [VIDEO] Pangkalan udara Israel jadi sasaran peluru berpandu Iran
Ia termasuk kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung,” jelasnya.
Pada masa sama, KKM menegaskan status keselamatan produk-produk di pasaran termasuk produk makanan disyaki diaduk dengan racun berjadual seperti tadalafil sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.
Katanya, sejak tahun 2018 sehingga kini, daripada 1,575 sampel produk diambil kerana disyaki mengandungi racun berjadual, 32 sampel atau 2.03 peratus daripadanya dikesan mengandungi racun berjadual tidak dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Tindakan penguatkuasaan diambil ke atas syarikat dan produk terlibat.
“Menurut Seksyen 13, Akta Makanan 1983, mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan,” ujar kenyataan itu lagi.
KKM memaklumkan, jika sabit kesalahan, mereka terlibat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Sehubungan itu, mana-mana peniaga termasuk peniaga dalam talian yang mempunyai stok produk ini diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan produk berkaitan.
“Semua platform e-dagang dan media sosial diminta untuk menghentikan penyiaran kandungan iklan makanan tersebut serta- merta.
“Orang ramai yang sedang menggunakan produk ini pula perlu menghentikan penggunaan dan mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram