SELEPAS Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tentang penyediaan kemudahan wad tiga di Hospital Kuala Lumpur, timbul pula isu lain berhubung fasiliti pusat kesihatan kerajaan.
Menurut seorang warga Facebook Mohd Sayuti Omar II, isu penambahan fasiliti di wad hospital yang sudah lama dibangkitkan itu tidak dapat diselesaikan jika tiada lawatan Perdana Menteri.
Perkara itu juga menjadi persoalan kerana dia menganggap bahawa setiap masalah akan diatasi dengan segera apabila mendapat arahan daripada Anwar.
BACA LAGI: Kerajaan akan segerakan penyediaan kemudahan wad kelas 3 HKL
Anwar ketika menyantuni pesakit sempena Hari Raya Aidilfitri di Hospital Kuala Lumpur pada Khamis.
Baginya, setiap Jemaah Menteri mempunyai peranan dan tugas hakiki yang diamanahkan untuk bertindak mengatasi sesuatu masalah tanpa menunggu Perdana Menteri.
"Hari ini (Khamis), Anwar telah mengarahkan agar kesesakan itu diatasi segera. Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad diminta siapkan laporan kepada Kabinet.
"Apakah kalau tiada lawatan PM ke HKL, masalah itu tidak akan terbangkit dan ia kekal dengan status itu? Apakah sesuatu masalah yang berlaku itu perlu sungutan daripada PM baru hendak diperbaiki?
"Di mana peranan dan tugas hakiki menteri yang diberi tanggungjawab berkaitan portfolio masing-masing kalau menunggu PM tegur baru nak bertindak?," katanya.
Masalah parkir di hospital juga dikatakan perlu diselesaikan. — Gambar hiasan/Facebook
Bukan itu sahaja, pengguna akaun Facebook Nasir Nas pula menyarankan agar pihak hospital dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat melihat masalah lain berhubung fasiliti di hospital kerajaan.
Katanya, masalah tempat letak kenderaan atau parkir perlu dilihat dan diatasi oleh kedua-dua badan bertanggungjawab itu.
"Pengarah hospital dan Pengarah KKM patut bertanggungjawab bersama menteri. Contoh, hospital di Kampar, Perak. Kedudukan di atas bukit, setiap kali parking kereta kena tahan dengan batu tayarnya.
"Kalau tak, kereta bergerak sendiri, warga emas tak mampu jalan kaki naik atas bukit," jelasnya.
Tambahnya, isu itu pernah disuarakan kepada pihak atasan tetapi masih tiada tindakan diambil sehingga sekarang.
"Saya pernah utarakan isu ini kepada Setiausaha Politik kepada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa yang kini berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), no action taken.
"Ini setelah penat bercakap dengan Pengarah Hospital Kampar, Pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR), letih alasan politik sahaja," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram