BAGI kebanyakan rakyat Malaysia, pekerjaan suri rumah dianggap bukan sesuatu yang dikategorikan sebagai pekerjaan formal.
Pandangan sedemikian berlaku kerana tugasan sebagai suri rumah sering kali dianggap sebagai satu tanggungjawab atau kewajipan yang perlu dijalankan anggota sesebuah keluarga keluarga.
Di Malaysia, faktor budaya menyebabkan tugasan itu sering kali diletakkan di bahu wanita bergelar sebagai isteri.
Disebabkan statusnya yang tidak dianggap sebagai pekerjaan formal, ia menyebabkan individu bergelar sebagai suri rumah dikesampingkan daripada sebarang perlindungan keselamatan.
Pengecualian terhadap kumpulan ini berlaku meskipun kumpulan tersebut diakui sememangnya terdedah kepada pelbagai risiko keselamatan ketika menjalankan tanggungjawab ketika menguruskan keperluan keluarga.
Sedar akan keperluan untuk menangani isu tersebut, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sejak 1 Disember 2022 mula memperkenalkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) bagi melindungi suri rumah.
Menerusi skim khas berkenaan, ketua keluarga yang bekerja boleh mencarum bukan sahaja untuk dirinya sendiri, tetapi juga buat isterinya yang menjalankan tanggungjawab menguruskan keluarga.
Sejak mula diperkenalkan kira-kira lebih setahun lalu, ramai wanita telah menikmati manfaatnya.
BACA LAGI: Pusat rehab PERKESO bertaraf dunia, ini apa yang anda perlu tahu tentang PRPTAR
Izudin Mohd Yaman (kanan) mula mencarum buat isterinya, Wan Shafini pada September 2023. — PERKESO
Isteri sakit terima manfaat caruman suami
Suami kepada Wan Shafini Wan Daud, 53, mula membuat caruman dalam SKSSR pada September 2023.
Ketika membuat keputusan tersebut, dia tidak menyangka suatu hari ia akan memberi manfaat begitu besar kepada isterinya.
Malang sememangnya tidak berbau.
Tidak sampai beberapa bulan selepas dia mula mengambil inisiatif tersebut, Wan Shafini secara tiba-tiba diserang angin ahmar.
Wanita itu berkata, insiden serangan penyakit itu berlaku ketika dia sedang menghadiri kursus pengurusan pendidikan di Melaka.
“Pada November tahun lalu, saya diserang angin ahmar ketika menghadiri sebuah kursus pengurusan pendidikan di Melaka di mana saya juga menerima rawatan selama lapan hari di Hospital Melaka.
“Kemudian pada Disember 2023, suami saya menghubungi pegawai PERKESO dan beliau mencadangkan untuk mengisi borang permohonan bantuan SKSSR.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dalam masa yang singkat, pada bulan Januari, saya telah dipanggil untuk penilaian kesihatan dan seminggu kemudian saya menerima duit faedah dari SKSSR,” katanya yang menetap di Kajang, Selangor.
Berkongsi dengan lebih lanjut, Wan Shafini berkata, duit faedah yang diterima daripada SKSSR turut membantunya bagi menanggung kos ubatan dan rawatan susulan yang perlu dilakukannya.
"Lebih dari sekadar bantuan kewangan, faedah ini memberikan harapan dan kelegaan kepada saya dan keluarga saya.
“Oleh itu, saya ingin menggalakkan semua orang, terutamanya suri rumah, untuk mencarum kepada skim ini supaya dapat memberi perlindungan kewangan dalam situasi yang tidak diingini seperti kemalangan atau penyakit," katanya.
Pada waktu ini, Wan Shafini yang merupakan pesara guru masih menerima rawatan susulan fisioterapi dan neurologi di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.
Pasangan tidak bekerja turut layak terima bantuan
Untuk rekod, perlindungan dalam skim SKSSR turut meliputi kes kemalangan yang berlaku ketika seseorang suri rumah melakukan aktiviti menguruskan keluarga.
BACA LAGI: Bukan semata-mata rawatan, ada lagi 4 'rahsia istimewa' Pusat Rehabilitasi PERKESO tawarkan
SKSSR memberi perlindungan bencana domestik kepada suri rumah yang mengalami kemalangan atau apa-apa insiden semasa melakukan urusan berkaitan rumah tangga.
Manfaat ini turut dirasai oleh seorang suri rumah Kasduri dari Rawang Selangor yang mengalami kemalangan jatuh dari tangga ketika berada di rumahnya.
"Kecelakaan berlaku semasa saya menaiki tangga untuk menidurkan anak. Awalnya, saya hanya merawat sendiri dengan menyapu minyak angin dan menuam ais pada kaki yang bengkak dengan bantuan anak.
“Namun, apabila keadaan tidak bertambah baik, saya menerima rawatan di Hospital Pakar KPJ Rawang. Berkat skim yang dicarum suami, saya menerima bantuan kewangan sebanyak RM1,200.
“Saya menggunakan wang tersebut untuk membeli peralatan perubatan yang membantu pemulihan kaki saya,” ujarnya.
Kasduri berkata, dia sangat bersyukur atas faedah yang diterimanya itu kerana suaminya sudah mencarumkan dirinya di bawah SKSSR sejak Mac tahun lepas.
Orang ramai boleh memuat turun e-newsletter PERKESO dengan melayari laman web https://www.perkeso.gov.my/e-newsletter.html bagi mengetahui perkembangan kempen terkini agensi itu yang menitikberatkan soal kesihatan dan keselamatan pencarum. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram