HAMPIR seminggu beraya, pastinya ramai yang mula membuat persiapan pulang semula ke kota untuk meneruskan rutin harian.
Orang ramai juga meluahkan rasa bimbang dengan keadaan lalu lintas yang dijangka sesak teruk berikutan orang ramai mahu pulang ke kediaman masing-masing usai tempoh cuti yang diberi.
Melihat keadaan tersebut, pemandu dijangka menempuh kesesakan dan berkemungkinan akan berada di atas jalan raya antara lapan hingga 12 jam.
Di sini Majoriti senaraikan tiga faktor yang menyumbang ke arah situasi ini:
1. Balik hari sama
BACA LAGI: Ketahui jalan alternatif, waktu sesuai elak sesak pulang beraya dengan selamat dan lancar
Kebanyakan perantau dijangka merancang untuk bergerak pulang ke rumah masing-masing pada Ahad.
BACA LAGI: Awal raya dijangka suram, negeri Utara mungkin lengang
Kebanyakan perantau pastinya sudah memutuskan untuk pulang ke kota pada Ahad, hari terakhir cuti.
Tidak dinafikan ada yang sudah bergerak awal dari tarikh tersebut, atas faktor kembali bertugas atau mahu mengelak terperangkap di atas jalan.
Namun berdasarkan pemerhatian, kebanyakan perantau merancang untuk bergerak pada Ahad.
Mana tidaknya, perayaan Aidilfitri disambut setahun sekali, pastinya ramai yang enggan melepaskan peluang untuk beraya sakan.
Jika itu pilihannya, mahu tidak mahu terpaksalah anda menghadap kesesakan yang luar biasa.
Lagipun, bukankah musim perayaan memang disinonimkan dengan kesesakan lalu lintas? Jadi bertabahlah!
2. Tidak ramai gunakan jalan alternatif
Perantau disarankan untuk menggunakan jalan pintas atau laluan alternatif sebagai langkah mengelak kesesakan jalan raya.
Kebiasaannya, mereka yang mahu bergerak antara laluan Utara-Selatan tanah air perlu melalui lebuh raya utama negara iaitu Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) juga dibuka secara rasmi oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada November 2023 bagi memberi kemudahan kepada pengguna.
WCE adalah sebuah projek infrastruktur negara yang dilaksanakan secara penswastaan yang menghubungkan Taiping di Perak dengan Banting, Selangor dengan panjang keseluruhan 233 kilometer.
Kewujudan infrastruktur itu sepatutnya digunakan dengan sebaik mungkin untuk mengelakkan kesesakan jalan raya.
Namun, mungkin disebabkan masih ramai yang kurang arif tentang lebuh raya tersebut, maka mereka memutuskan untuk tidak menggunakan laluan itu.
Tidak kurang juga yang mempersoalkan bagaimana cara untuk mengakses ke WCE daripada kampung mereka.
Jadi jika ada yang berhasrat untuk mencuba memandu di lebuh raya berkenaan, masih sempat lagi untuk anda belajar selok-belok laluan yang harus dituju.
3. Ramai tidak patuhi saranan waktu sesuai
Ketahui masa yang kurang sesak dengan menggunakan aplikasi seperti Waze.
Waktu juga memainkan peranan amat penting dalam jadual pergerakan untuk pulang ke kota.
Ramai yang tidak mematuhi saranan waktu yang sesuai untuk pulang ke destinasi masing-masing.
Terdapat pemandu yang cenderung memulakan perjalanan pada tengah hari, sedangkan kebiasaannya trafik akan meningkat pada waktu tersebut.
Untuk memudahkan perjalanan, anda sepatutnya menganalisis jadual waktu memandu yang paling baik dan ketahui masa yang kurang sesak dengan menggunakan aplikasi seperti Waze dan Google Maps.
Pada masa sama, anda juga boleh mempertimbangkan untuk memulakan perjalanan dari kampung ke Kuala Lumpur sebelum waktu senja atau sebelum waktu maghrib.
Ini kerana, pada waktu itu anda boleh mengelakkan kesesakan jalan raya pada waktu petang.
Pastikan juga anda merujuk Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang disediakan PLUS. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram