PENGAWAL peribadi yang parah dalam insiden tembakan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1), Sepang, Selangor pada awal pagi Ahad sepatutnya tidak bertugas ketika waktu kejadian, kata rakan sekerjanya.
Mohd Affan Mohd Aris berkata, mangsa yang lebih dikenali sebagai "Along" itu terpaksa menggantikan rakan sekerja wanitanya yang sedang bercuti Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, Along juga sempat menyiarkan gambarnya memulakan tugas dalam kumpulan WhatsApp syarikat keselamatannya bekerja sebelum kejadian.
"Dia (Along) juga menghantar gambar lencana kerjanya pada pukul 12.48 pagi, dengan perkataan 'bertugas di saat-saat akhir malam ini'," katanya ketika ditemui di Hospital Cyberjaya pada Ahad.
Mohd Affan berkata, Along tidak sempat membalas komen rakan sekerja lain dalam kumpulan WhatsApp yang bertanyakan sama ada dia memerlukan bantuan tambahan memandangkan rakannya itu bertugas ketika musim perayaan.
Sementara itu, seorang lagi rakan sekerja mangsa, Nurhafiza Azizan, 29, yang sepatutnya bertugas berkata, dia mungkin tidak mampu menangani situasi cemas itu secekap Along sekiranya dia bekerja ketika kejadian.
BACA LAGI: Pemandu panas punggung, hadap jem 8 hingga 12 jam andai balik beraya Ahad
Suspek (gambar kecil) memiliki dua rekod jenayah lampau selain dalam proses penceraian dengan isterinya gara-gara hubungan bermasalah sejak 2016.
BACA LAGI: Perang dunia ke-3 boleh tercetus jika Israel dibiar terus cabul undang-undang antarabangsa
Dalam perkembangan terbaharu, Polis Perlis meningkatkan pengawasan dan pemantauan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand dengan memberi tumpuan kepada laluan penyeludupan yang diketahui bagi menghalang suspek terlibat dalam tembakan itu lolos keluar dari negara.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, pihaknya sedang berkoordinasi dengan Bukit Aman, khususnya Bahagian Jenayah Berat (D9), berhubung kejadian itu dan melibatkan Pasukan Gerakan Am (GOF) bagi tujuan kawalan dan pemantauan.
“...memantau pintu masuk dan menyelaraskan dengan GOF untuk pengawasan sempadan khususnya laluan penyeludupan dan elemen lain bagi membantu Bukit Aman mengesan suspek,” katanya seperti dilaporkan pada Ahad.
Dalam kejadian pada 1.20 pagi itu, suspek yang dikenali sebagai Hafizul Harawi, 38, cuba melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya di pintu masuk balai ketibaan, namun tersasar mengenai salah seorang pengawal peribadi wanita berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, lelaki itu juga mempunyai tiga rekod jenayah lampau.
Dua daripadanya di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan satu di bawah Seksyen 380/170 Kanun Keseksaan, iaitu akta sama bagi kesalahan mencuri dan menyamar sebagai penjawat awam.
Mohd Shuhaily berkata, mangsa yang cuba ditembak dalam kejadian itu dan merupakan isteri suspek sebelum ini sudah membuat dua laporan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan pada 2016 dan 2023. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram