Alas kaki gambar Kaabah kena rampas di Johor sebenarnya sejadah mini


  • Massa
  • Sabtu, 13 Apr 2024

Alas kaki yang bercetak corak ala Kaabah yang dirampas dari sebuah pasar raya di Batu Pahat, sehari sebelum Aidilfitri lalu.

ALAS kaki dengan gambar kaabah yang dirampas oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pada Selasa lalu adalah sejadah mini.

Demikian penjelasan AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON BiG) dalam kenyataan yang memaklumkan bahawa produk berkenaan adalah sejadah mini yang mana coraknya adalah dalam format menegak yang juga amalan biasa.

Menurut kenyataan AEON BiG, pihaknya menyedari hantaran media sosial berhubung salah faham berkaitan sejadah dilabel secara tidak tepat sebagai alas pintu.

"Pembekal yang terbabit, A&R Fashion Collection (A&R) mengesahkan produk itu sememangnya sejadah mini yang mana coraknya adalah dalam format menegak yang juga amalan biasa.

"Bagaimanapun selaras dengan amalan terbaik AEON BiG dan A&R menggunakan kod barangan dalam sistem yang sebelum ini digunakan untuk produk lain syarikat itu.

"Akibatnya, label yang digantung pada produk menunjukkan pelbagai deskripsi dan menyebabkan kekeliruan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

BACA LAGI: JAINJ rampas 11 alas kaki bercetak gambar Kaabah, beri amaran kepada pasar raya di Batu Pahat

AEON BiG berkata, perkara itu sudah diperbetulkan serta-merta dalam sistem pengurusan barangan AEON BiG dan deskripsi barangan terbabit sebagai sejadah sudah dinyatakan.

"Kami sudah dimaklumkan mengenai isu ini pada 9 April lalu dan memberikan kerjasama sepenuhnya dan kenyataan kepada JAINJ.

"Pembekal terbabit adalah perusahaan kecil sederhana (PKS) milik 100 peratus Bumiputera atau Islam yang membekalkan pakaian Muslimah patuh syariah.

"Ini termasuk pakaian seperti jubah solat, tudung, kurta, sampin dan songkok selain produk lain seperti sejadah, permaidani seperti tikar," katanya.

Menurutnya, syarikat itu ditubuhkan pada 2007 dan menjadi pembekal kepada AEON BiG sejak 2015 dan pembekal kepada peruncit lain selain mengendalikan kedai sendiri.

Kedua-dua pihak pengurusan AEON BiG dan A&R berharap kenyataan bersama ini akan menjelaskan sebarang keraguan mengenai isu itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Ibu, bayi meninggal dunia kereta remuk terperosok bawah lori tangki

"Kami berharap spekulasi ini yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat kita yang berbilang kaum akan dihentikan.

"AEON BiG dan A&R akan terus bekerjasama dengan JAINJ dan mana-mana pihak berkuasa berkaitan sekiranya terdapat sebarang maklumat lanjut diperlukan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan JAINJ merampas 11 alas kaki bergambar Kaabah yang dijual di sebuah pasar raya di Batu Pahat, Johor, sehari sebelum Aidilfitri lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid dilaporkan berkata, tindakan itu susulan aduan orang awam terhadap tindakan pasar raya terbabit yang menjual alas kaki berkenaan sempena sambutan Aidilfitri.

Katanya, pasar raya berkenaan juga sudah dipanggil bagi memberi kenyataan selain diberi amaran supaya lebih berhati-hati terhadap produk jualan yang tidak menyentuh sensitiviti masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram